PELAKON, Zoey Rahman teruja apabila menerima kek hari jadi ‘paling mahal’ bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-35.

Menurutnya, kek yang diterimanya daripada kumpulan pengurusan jenamanya, Mikaseries serta rakannya itu didatangkan bersama telefon pintar berjemama iPhone 11 Pro Max dan wang tunai RM350.

“Kalau hadiah hari jadi untuk diri sendiri, saya pernah beli kondominium. Itu ketika sambutan hari jadi ke-27.

“Kalau hadiah daripada orang lain, ini adalah hadiah dan kek hari jadi paling mahal saya pernah terima,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia sendiri tidak dapat menghidu kejutan yang dirancang oleh kumpulan pengurusan bersama kenalan rapatnya.

“Saya bukanlah orang yang suka mengadakan sambutan hari jadi. Paling tidak pun, majlis makan sahaja bersama teman rapat.

“Jadi, saya memang tak dapat menghidu langsung rancangan mereka kerana pada awalnya dimaklumkan ada mesyuarat berkaitan perniagaan,” katanya.

Zoey juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pengurusan dan kenalannya yang sentiasa ada bersamanya.

“Di sambutan ulang tahun ke-35 ini, saya nak ambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pengurusan dan kenalan yang sentiasa menyokong, baik dalam kerjaya seni mahupun perniagaan,” katanya.

Zoey menyambut ulang tahun kelahirannya pada 3 Januari lalu manakala majlis kejutan itu diadakan semalam. Turut hadir, rakan artis, Ramlah Ram.

All copyrights for this article are reserved to Harian Metro Rap