LELAKI Britain berusia 52 tahun yang menjadi gelandangan selepas terkandas di negara ini diselamatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, mangsa, James Ashley tiba di negara ini pada 17 Mac selepas penerbangan dari Laos untuk ke Myanmar.

Menurutnya, dia transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama lima jam namun gagal untuk meneruskan penerbangan itu apabila Myanmar menutup pintu sempadan dan tidak membenarkan penerbangan ke negaranya.

“Dia kemudian pergi ke kedutaannya dan dimaklumkan pegawai dokumennya lengkap.

“Dia kemudian tinggal di kawasan Chow Kit sehingga 21 Mac lalu namun akibat kehabisan wang dia keluar dari hotel dan mula bergelandangan sehingga diselamatkan di Bulatan Syed Putra, hari ini,” katanya,

Nor Hisham berkata, lelaki terbabit akan ditempatkan di pusat Dewan Serbaguna Alam Damai selepas selesai menjalani ujian kesihatan.

All copyrights for this article are reserved to covid19