Setiap ibu bapa pasti mahukan anak-anak sentiasa berada dalam keadaan yang sihat serta membesar dengan baik seperti orang lain. Walau bagaimanapun, adakalanya perancangan daripada Allah S.W.T itu lebih hebat daripada apa yang dibayangkan. Seperti sepasang suami isteri ini, mereka dikurniakan anugerah paling bernilai iaitu seorang anak lelaki yang dilahirkan dengan masalah autisme ringan.

Benar bahawa anak autisme ini mempunyai kelebihan yang luar biasa walaupun akan mengalami kekurangan dalam sesetengah perkara. Seperti kisah yang dikongsikan ini apabila adik autisme ini sudah mampu hafaz 30 juzuk Al-Quran!

Dah 11 tahun tapi berperangai seperti usia 5 tahun

Sorang kanak-kanak lelaki yang bernama Ammar Qayyim berusia 11 tahun dan mempunyai fizikal sama seperti rakan seusia lain, namun perlakuan serta pemikirannya masih lagi seperti budak berumur 5 atau 6 tahun. Menerusi artikel Harian Metro, insan istimewa itu masih lagi belum mampu untuk menguruskan diri sendiri serta masih berbotol susu dan memakai lampin.

Mampu hafaz 30 juzuk dengan baik sejak umur 8 tahun

Sangat memberi inspirasi, Ammar berupaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran dengan baik sejak berumur 8 tahun lagi. Kelebihan tersebut mula disedari apabila kedua-dua ibu bapanya menghantar anak mereka itu untuk belajar di Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia. Walaupun baru seminggu berada di sana, ibunya berkata kanak-kanak tersebut sudah berjaya menyambung serta meneka surah yang diuji.

Perkara tersebut telah membuka hatinya untuk menyokong penuh usaha anak bongsu daripada dua beradik itu. Malah wanita tersebut turut menasihatkan ibu bapa yang juga mempunyai anak istimewa seperti ini untuk tidak berputus asa dan berusaha mencari kelebihan pada diri mereka. Perkongsian berkenaan turut menerima respon positif daripada netizen. Rata-rata memuji kanak-kanak tersebut dan mendoakan semoga urusannya dipermudahkan oleh Allah S.W.T.

Sumber : Harian Metro

All copyrights for this article are reserved to SirapLimau