KETIKA seluruh dunia dilanda penularan wabak Covid-19, ramai yang cemas dengan pelbagai berita yang tersebar di media sosial.

Ini termasuk segelintir individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu dan khabar angin, sekali gus menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

Tentunya apabila berita ini mula tersebar, orang ramai secara tak langsung dan tanpa sedar menyebarkan berita terbabit kepada keluarga serta kenalan menerusi WhatsApp dan platform media sosial.

Penyanyi dan pelakon popular, Naim Daniel tergerak hati untuk bersuara dan meminta supaya masyarakat tidak mudah percaya berita palsu dan perlu mendapatkan berita sahih daripada sumber yang boleh dipercayai saja.

“Kita sebagai masyarakat perlu berdiri atas dasar kemanusiaan dan bukan menimbulkan kacau-bilau dalam kalangan masyarakat. Jangan kita terlalu mudah percayakan khabar angin dan berita tak sahih.

“Jangan hanya kerana nak menjadi orang pertama menyebarkan berita, kita tolak tepi kesahihan maklumat yang kita dapat tanpa menghiraukan kesannya kepada masyarakat,” katanya.

Naim berkata, sebagai selebriti dia menggunakan pengaruh yang ada sebaik mungkin dalam memastikan penularan maklumat berkaitan Covid-19 adalah yang benar-benar asli.

“Sebagai selebriti, kita ada sedikit pengaruh kepada pengikut di media sosial dan peminat. Tak salah untuk kita kongsikan tip dan maklumat terkini, namun perlu pastikan ia benar-benar sahih dan tepat.

“Saya pun kadang-kadang rasa takut dan ragu-ragu untuk kongsikan apa-apa maklumat yang sampai kepada saya sekiranya sumbernya tidak jelas.

“Penting untuk kita pastikan berita dan maklumat yang disampaikan kepada orang awam itu tepat dan benar. Jadi rakyat yang bertanggungjawab kerana kita semua sayangkan negara kita,” katanya.

Penyanyi lagu Sumpah itu juga meminta supaya masyarakat tidak mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan dan dilanjutkan sehingga 14 April depan.

“Apa yang dilakukan kerajaan bukan untuk menyusahkan sesiapa, sebaliknya untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua masyarakat.

“Kita tak boleh menjadi orang yang pentingkan diri sendiri kerana setiap tindakan kita akan memberi kesan kepada masyarakat. Lihat PKP ini dari sudut positif.

“Dalam tempoh ini, bagi yang boleh bekerja dari rumah, setidak-tidaknya mereka dapat meluangkan masa bersama keluarga. Hikmah lain adalah apabila berlaku perkara sebegini, ramai orang yang mula menjaga dan menitikberatkan kebersihan,” katanya.

Dalam pada itu, Naim juga terpaksa membatalkan beberapa acara persembahan.

“Apa yang boleh saya katakan, ada 10 acara persembahan membabitkan saya terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan. Antaranya, adalah ‘showcase’ yang sepatutnya berlangsung April depan.

“Itu sedikit sebanyak memberikan kesan kepada saya sebagai anak seni yang mencari rezeki berdasarkan acara persembahan. Namun, itu adalah untuk kebaikan saya dan mereka yang terbabit,” katanya.

Terbaru, Naim baru saja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Khilaf Terakhir, sehari sebelum PKP dikeluarkan dan kini masih mempromosikan single terbarunya berjudul Sembah.

All copyrights for this article are reserved to covid19