RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memohon doa kesejahteraan daripada rakyat selepas kakitangan Istana Negara disahkan dijangkiti Covid-19.

Melalui satu hantaran di akaun Instagram airtangan_tunkuazizah, baginda turut memaklumkan seramai sembilan kakitangan Istana Negara disahkan dijangkiti virus itu.

Dalam hantaran yang dimuat naik kira-kira 5 petang tadi, Raja Permaisuri Agong memaklumkan baginda mempunyai kontak rapat dengan sembilan kakitangannya yang positif.

“Setakat ini sudah sembilan positif, di istana hanya tinggal saya sekeluarga bersama tiga pembantu.

“Tiada siapa dibenarkan keluar bilik, tiada pelawat….Ya Allah selamatkan Malaysia,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah, sepasukan anggota Jabatan Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat juga sudah berada di Istana Negara.

“Semua kakitangan akan dibawa ke hotel untuk menjalani kuarantin secepat yang boleh.

“Prosedur yang akan mereka lalui adalah pertama perlu menukar pakaian yang dipakai dengan pakaian yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan selain mereka perlu melalui proses disinfeksi sebelum menaiki bas dan semua barangan peribadi mereka akan melalui proses disinfeksi,” titah baginda.

Baginda bertitah, mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan dan kumpulan ini akan menentukan bas mana yang akan mereka naiki.

Titah baginda, kumpulan pertama adalah mereka yang keputusan ujiannya negatif.

“Kumpulan kedua adalah mereka yang keputusan ujian ‘swab test’ belum diterima dan kumpulan ketiga adalah mereka yang sudah mempunyai simptom seperti batuk, selsema dan demam,” titah baginda.

Raja Permaisuri Agong turut memuat naik enam gambar menunjukkan proses dilaksanakan di Istana Negara oleh petugas Jabatan Kesihatan dan pasukan bomba.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah sudah menjalani saringan kesihatan dan disahkan negatif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • All copyrights for this article are reserved to covid19