<strong>JOHOR BAHRU</strong>: Kerajaan Johor pada Selasa memutuskan untuk tidak meneruskan penganjuran bazar Ramadan tahun ini sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata tindakan diambil itu selaras dengan saranan Kerajaan Persekutuan agar tidak menganjurkan bazar Ramadan pada tahun ini.

Beliau berkata keputusan itu sebagai langkah kawalan terhadap kemungkinan berlaku penularan wabak COVID-19 akibat kontak rapat, sekali gus mengundang risiko lebih besar kepada pengunjung dan rakyat.

“Bagaimanapun, saya menggalakkan peniaga untuk menjalankan perniagaan masing-masing secara dalam talian.

“Ia juga merupakan peluang bagi mereka meneroka potensi pasaran yang amat luas menerusi dalam talian,” katanya dalam hebahan awam harian mengenai COVID-19 yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook “Makmur Johor”, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pendirian kerajaan negeri berhubung penganjuran Bazar Ramadan masih samar apabila tiada kata putus terhadap perkara tersebut.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sebelum ini bertitah bahawa Bazar Ramadan tidak sesuai diadakan susulan penularan wabak COVID-19 ketika ini. – BERNAMA

All copyrights for this article are reserved to Astro Awani