“SAYA ingatkan polis datang untuk tangkap saya, rupanya menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih,” kata Muhammad Urabil Alias, 38, ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sebelum ini tular gambar Muhammad Urabil berpakaian seperti lembaga putih dan berdiri di atas sebuah van di Facebook sehingga dikongsi netizen sebanyak 3,300 kali dengan 1,400 komen dan 983 tanda suka.

Urabil berkata, dia berasa cemas apabila sekumpulan polis lengkap berpakaian operasi dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman datang ke rumah.

“Mereka bertanya saya mengenai perbuatan saya memakai pakaian seperti lembaga putih untuk menakutkan remaja yang berkeliaran pada waktu malam.

“Saya diarahkan memakai semula pakaian dan topeng watak Gandalf itu kemudian keluar rumah untuk menemui mereka.

“Hanya tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu, namun kebimbangan itu hilang sekelip mata apabila mereka menyatakan kedatangan polis sekadar untuk mengucapkan terima kasih,” katanya ketika dihubungi di Chukai, hari ini.

Dia berkata, polis mengarahkannya memakai pakaian itu hanya untuk merakam gambar bersama.

“Saya berasa lega kerana tindakan saya itu dihargai dan lebih terharu kerana ia datang daripada kumpulan barisan hadapan.

“Polis mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada saya di atas tindakan saya menggalakkan orang ramai tinggal di rumah sesuai dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Menurutnya, jumlah remaja dan golongan belia yang berkeliaran di Taman Anika Jaya, Kampung Tempurung semakin berkurangan sejak gambar itu menjadi tular.

“Sehingga sekarang gambar itu masih dikongsi di media sosial,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lelaki mengambil inisiatif bagi memastikan penduduk terutama remaja dan belia di taman perumahannya patuh kepada arahan PKP yang dikeluarkan.

Muhammad Urabil berpakaian seperti lembaga putih dan berdiri di atas sebuah van sambil dirakam isterinya, Norhayati Nayan, 39.

Gambar itu kemudian dimuat naik ke Facebook miliknya dengan harapan ia menakutkan orang ramai untuk merayau di waktu lewat malam.

Berita berkaitan

• ‘Bukan hantu lah…’

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • All copyrights for this article are reserved to covid19