MESYUARAT Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 yang dijadual diadakan sehari pada 13 April ini ditunda ke 16 April.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, tarikh baharu itu selaras dengan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April.

“Kami akur dengan lanjutan tempoh PKP yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha DUN Sarawak, Pele Peter Tinggom berkata, persidangan itu akan diadakan mulai 9 pagi di Dewan Mesyuarat, Bangunan DUN Sarawak, Petra Jaya dengan tiada istiadat pembukaan penggal serta majlis jamuan negeri diadakan pada hari itu.

Hanya petugas media, ahli pentadbiran termasuk Setiausaha Politik, Ahli Yang Berhormat dan Ketua Jabatan sahaja yang akan menghadiri persidangan itu.

Orang awam dan pelawat tidak dibenarkan untuk datang menyaksikan persidangan itu bagi mengurangkan risiko penularan wabak.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, petani, penternak dan nelayan bolehvmenjalankan rutin harian seperti biasa.

“Mereka dibenarkan untuk menjual hasil pertanian atau tangkapan di tempat yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa tempatan mulai jam 7 pagi hingga 7 malam,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata demikian dalam kenyataan, petang ini.

#kw DUN, tunda, Sarawak

All copyrights for this article are reserved to covid19