KANVAS seni penyanyi popular, Wany Hasrita kian berwarna warni. Kejayaan demi kejayaan yang diraih melengkapkan lagi profil kerjaya yang dibinanya.

Cakaplah apa pun mengenai kemunculan si jelita ini, baik dari segi penampilan, imej dan vokal, Wany Hasrita kian membuktikan dia kekal relevan.

Malah, apa yang membuatkannya terus menjadi kesayangan ramai adalah personaliti yang sentiasa merendah diri. Sama seperti resmi padi, ‘semakin tunduk semakin berisi’.

Menariknya, Wany, 28, atau nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah antara penyanyi yang tidak pernah gagal mencuri tumpuan menerusi lagu yang dilancarkan.

Terbaharu, lagu Canggung yang dilancar pada 27 Mac lalu terus mendaki carta ‘trending’ di laman YouTube apabila berada pada kedudukan teratas.

“Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan semua. Setiap lagu punya tempat istimewa dalam hati saya.

“Cuma, untuk lagu Canggung ini ia lain daripada yang lain kerana hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang kita semua tahu magis mereka.

“Malah, lagu ini juga bergenre tradisional moden. Bagi saya, ia sesuatu yang baharu dan tidak menjangka juga sambutan serta maklum balas diberikan sangat positif,” katanya.

BUKAN sekali dua perbandingan dibuat antara Wany dan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terutama membabitkan lagu tradisional.BUKAN sekali dua perbandingan dibuat antara Wany dan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terutama membabitkan lagu tradisional.

Turut menarik perhatian adalah video muzik (MV) Canggung yang memaparkan Wany menari dan ‘diapit’ ular sawa.

Berkongsi cerita di sebalik ular itu, Wany berkata dia ketakutan sepanjang penggambaran MV itu dilakukan.

“Ada juga yang cakap kenapa saya tak pegang ular itu. Kalau nak tahu, saya sangat takut. Walaupun itu ular jinak, tapi saya tetap takut. Macam-macam saya fikir.

“Ketika babak yang memerlukan saya menari sebelah ular pun sudah cukup menyeramkan. Memang tak dapat saya bayangkan kalau disuruh juga pegang, mungkin terus menangis,” katanya.

Dibandingkan dengan Siti Nurhaliza

Bukan sekali dua perbandingan dibuat antara Wany dan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terutama membabitkan lagu tradisional.

Malah, untuk lagu Canggung ini masih ada yang cuba membandingkan Wany dengan penyanyi lagu Anta Permana yang juga hasil ciptaan Hael dan Ezra.

“Setiap penyanyi ada ciri khas tersendiri. Lain penyanyi, lain caranya. Semua tahu berkenaan kemampuan dan kehebatan Tok Ti dalam genre ini.

“Sementara saya pula penyanyi baru yang masih jauh perjalanan dan boleh dikatakan setiap hari adalah proses pembelajaran.

“Tidak dinafikan, Datuk Siti adalah sumber inspirasi dan idola bukan saja saya, tapi kebanyakan penyanyi lain. Tiada istilah mahu meniru tetapi niat saya hanya satu setidaknya inilah usaha untuk mengembalikan kemeriahan irama tradisi walaupun dalam bentuk moden,” katanya.

Dalam perkembangan lain pula, Wany turut meluahkan hasrat untuk lebih terbuka mencuba bakat dalam bidang lakonan.

“Sebelum ini saya berasakan lakonan bukan bidang yang sesuai. Tapi, selepas muncul dalam telefilem baru-baru ini, banyak pula maklum balas positif diterima.

“Jadi, untuk tahun ini saya mahu lebih terbuka untuk cuba berlakon. Cuma, kalau boleh biarlah watak ringan.

“Jika diberi pilihan, saya mahu menjadi watak sampingan, contoh rakan kepada watak heroin. Namun, kalau bawa watak heroin pula, harapan diletakkan tinggi. Lagi membuatkan saya takut.

“Insya-Allah, kalau ada tawaran sesuai dan bertepatan, tidak salah untuk mencuba,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to covid19