“SEDIH melihat anak bongsu dibawa menaiki ambulans selepas disahkan positif Covid-19, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” kata Sakiban Ahmad Kadari, 57, bapa kepada Nuha Syazwan Sakiban, 13.

Terdahulu, video berdurasi satu minit 36 saat menunjukkan Nuha Syazwan dibawa menaiki ambulans sambil diiringi ahli keluarganya di luar rumah mereka di Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang, Johor tular di media sosial, hari ini.

Sakiban berkata, ada beberapa kakitangan daripada pejabat kesihatan daerah datang ke rumahnya untuk melakukan pemeriksaan empat hari lalu dan bertanyakan ahli keluarga yang mempunyai simptom virus berkenaan.

“Saya memaklumkan bahawa anak bongsu ada mengalami batuk sebelum dia diminta datang ke klinik berhampiran untuk menjalani saringan.

“Kemudian, semalam saya menerima panggilan daripada pihak kesihatan memaklumkan anak positif Covid-19.

“Mereka memaklumkan akan menjemput anak menggunakan ambulans bagi dibawa ke Hospital Kluang untuk dirawat dan tiba di rumah kami pada jam 10.30 malam tadi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dia tidak menyangka anaknya itu dijangkiti virus berkenaan kerana Nuha Syazwan hanya mengalami batuk biasa selain tidak demam dan sesak nafas.

“Mula-mula saya ingat hanya batuk biasa kerana dia tidak mengalami demam. Namun, saya tetap ada perasaan tidak sedap hati dengan batuk dialaminya.

“Saya bersyukur pihak kesihatan membuat pemeriksaan awal hingga membolehkan kami tahu dia dijangkiti Covid-19 hasil ujian saringan dilakukan,” katanya.

Sakiban berkata, beberapa minggu lalu, anaknya itu ada pergi ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat dan menghadiri kenduri di kampung berdekatan.

“Secara jujurnya saya sendiri tidak tahu macam mana dia boleh dijangkiti virus berkenaan. Apa yang saya tahu, dia ada pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat pada 6 Mac dan pergi kenduri pada 14 Mac lalu.

“Anak saya memang rajin membantu dan menghadiri program fardu ain di masjid memandangkan hubungan antara kariah juga akrab.

“Malah dia selalu menemani saya ke masjid, namun pada 6 Mac lalu, saya tidak bersamanya menunaikan solat di masjid kerana sedang bekerja,” katanya.

Menurutnya, Nuha Syazwan ada menghubunginya untuk memaklumkan keadaannya yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Pagi tadi dia ada menghubungi saya dengan nada suaranya yang ceria memaklumkan dia sihat.

“Saya sempat berpesan kepadanya bahawa kami sekeluarga akan sentiasa menghubunginya sama ada melalui panggilan telefon mahupun panggilan video.

“Pada masa sama, kami sekeluarga masih menunggu tindakan susulan daripada pihak kesihatan sama ada akan diarahkan juga menjalani saringan memandangkan ada antara kami (Nuha Syazwan) disahkan positif (Covid-19),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • All copyrights for this article are reserved to covid19