SBDJ Siri 162: Senafas Dengan Guru

Limited Time!

Maziah hanya mendengar saja apa yang diungkapkan oleh mahaguru dengan penuh khusyuk. Kelopak matanya yang pejam celik, setiap kali mahaguru merenung ke arahnya. Ada keresahan dan kecemasan yang bermain di hatinya.

SBDJ siri 139

Maziah terus menanam sebuah keyakinan dalam hatinya bahawa apa yang diucapkan oleh mahaguru adalah benar dan mesti dihormati.

Mahaguru dengan wajah yang tenang meletakkan telapak tangan kirinya ke atas tulang bahu kiri perempuan itu.

Mahaguru merapatkan mukanya ke muka Maziah, hampir berlaga batang hidung. Mahaguru tarik nafas dalam-dalam, kemudian menghembuskan nafasnya ke dalam lubang hidung Maziah dan nafas itu (nafas mahaguru) segera disedut oleh Maziah.

Perkara itu diulang sebanyak tiga kali berturut-turut. Maziah hanya mengikut sahaja.

“Bagus.”

Mahaguru menjauhkan mukanya dari muka Maziah dalam jarak antara tiga hingga empat kaki. Maziah hanya senyum sambil menggigit bibir dan menarik nafas.

Dari raut wajahnya seolah-olah membayangkan yang dirinya sudah memiliki kekuatan yang tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapa pun.

“Mulai saat ini, abadikan dalam mata hati kamu yang aku ini sentiasa di samping kamu. Jangan sekali-kali cuba melupakan muka aku dari ingatan kamu.

“Dimana-mana kamu berada, fikirkan tentang aku. Bila mahu tidur cuba berusaha supaya kamu mimpikan aku.

“Bila kamu dapat buat semuanya ini, kamu selamat dunia akhirat, kamu faham tak?

“Saya faham.”

“Bagus, cubalah jadi murid yang baik.”

Maziah yang sedang menjalani proses menerima tauliah hanya anggukkan kepala.

Malah, dia tidak marah bila mahaguru angkat tangan kiri dan meletakkan ke atas bahu kanannya (Maziah).

Dari situ tapak tangan mahaguru menjalar ke pangkal payu dara kanan. Berhenti disitu untuk beberapa detik.

“Huuhhh keterlaluan,” orang kanan bersuara.

Perbuatan mahaguru yang terkeluar dari batas itu dapat dikesannya. Sebelum menjadi lebih buruk, orang kanan berhak menyedarkannya.

Bagaikan ada kuasa ghaib, mahaguru terus mengangkat tangannya secepat kilat dari bahu Maziah.

Tiga tapak mahaguru undur kebelakang lalu memalingkan muka ke arah orang kanannya. Mahaguru tunduk kepala seolah-olah minta maaf atas keterlanjurannya.

Gelagat mahaguru dan orang kanannya sunguh melucukan. Antara mereka tersembunyi sebuah rahsia. Mereka saling curiga-mencurigai antara satu dengan lain.

Dan mahaguru memang manusia yang tidak jujur, suka mencari kesempatan terutama terhadap anak murid perempuan.

Itulah kesimpulan yang saya buat setelah meneliti dengan terperinci watak mahaguru dan orang kanannya.

Begitu juga dengan perempuan suruhan, memang tidak boleh diharap. Sentiasa mencari peluang untuk mengenakan orang.

“Sekarang kamu duduk bersila di depan lubang. Kedua belah tapak tangan kamu mesti berada atas dua tempurung lutut.

“Pejamkan mata dan bayangkan diri aku dalam hati dan diri kamu.”

Perempuan yang mahu menjalani ujian segera akur dengan arahan mahaguru. Dengan ekor mata mahaguru menjeling ke arah perempuan suruhan.

Jelingan itu segera difahami oleh perempuan suruhan. Dia segera mendekati mahaguru. Berdiri di sebelah kanan.

LARUT

Dan malam kian larut, rasa dingin menguasai sekujur tubuh. Di langit, wajah bulan mula dilindungi awan.

Suara burung hantu beransur kurang tetapi lolongan anjung liar kian rancak. Suara cengkerik tetap macam tadi, masih hebat berbunyi. Dua tiga kali saya menguap.

Bulu roma saya tegak berdiri, bila suara burung hantu bertukar menjadi seperti perempuan menjerit dan mengilai.

Keinginan yang kuat untuk menyaksikan peristiwa selanjutnya membuatkan saya jadi berani dan keras hati.

Mahaguru pun duduk bersila di depan lubang. Tangan kirinya masih berada di atas bahu Maziah yang sudah pun merapatkan kedua belah kelopak matanya serta mencantumkan telapak tangannya atas tempurung lutut kiri dan kanan.

Gelas yang berisi rambut, darah dan air limau tetap berada di tangan kanan mahaguru.

Kalau tadi gelas itu sentiasa berada di sebelah kanan, kini mula berubah tempat, berada di tengah-tengah lubang yang digali.

Jarak antara punggung gelas yang dibalut dengan kain kuning dengan permukaan lubang lebih kurang setengah kaki.

“Mulakan.”

Sebaik sahaja mahaguru mengakhiri kata-kata tersebut, perempuan suruhan segera mengelilingi belakang mahaguru dan Maziah sebanyak tiga kali berturut-turut.

Langkah pertama dimulakan dengan kaki kiri dan diakhiri juga dengan kaki kiri.

Semasa perempuan suruhan mengelilingi Maziah dan mahaguru, bermacam-macam suara ganjil muncul dari kiri kanan dinding buluh.

Akhirnya saya terdengar suara harimau mengaum cukup kuat sekali. Serentak dengan itu perempuan suruhan terus duduk bersila menghadapi lubang yang digalinya.

“Sekarang hulurkan tangan kanan kamu, kembangkan jari-jarinya. Bila belakang tangan kamu bertemu dengan kain atau punggung gelas, jangan elakkan,” perempuan suruhan terus mencuit bahu Maziah yang terpejam.

Maziah segera hulurkan tangan dan mahaguru segera mengenakan punggung gelas dengan belakang tangan Maziah itu. Keadaan itu berlanjutan hampir lima minit.

“Dengar sini Maziah anak Jariah, sepatutnya kamu orang terakhir atau orang ketiga menjalani ujian tetapi kamu dipilih menjadi orang pertama oleh mahaguru kerana beberapa sebab,” perempuan suruhan berhenti bercakap.

Dia renung orang kanan dan muka mahaguru. Saya lihat mahaguru anggukkan kepala menyuruh dia meneruskan percakapan.

“Sekarang kau dengar ini baik-baik wahai Maziah anak Jariah. Mulai saat ini kau telah ditauliahkan untuk gelang kuning…” perempuan suruhan tidak meneruskan kata-kata.

Dia memberikan kesempatan kepada orang kanan mahaguru memasukkan gelang yang dibuat dari rotan dan dibalut dengan kain kuning ke lengan Maziah.

Gelang kuning itu ditolak hingga ke pangkal ketiak kanan. Bila lengan baju dijatuhkan gelang itu tidak akan kelihatan.

Selesai sahaja orang kanan menjalankan peranannya, perempuan suruhan menyambung kembali tugas yang terhenti.

“Dengar sini Maziah anak Jariah. Darah kamu akan ditanam bersama gelas berbalut kain kuning. Selagi gelas, rambut dan lain-lain barang yang ditanam tidak reput, selama itulah ilmu kamu tidak akan musnah.

“Sesungguhnya diri kamu jadi musnah kerana ilmu dunia. Kamu mesti berjaga-jaga dan berhati-hati dari perbuatan manusia.

“Demi kesejahteraan hidup kamu, turutilah atau patuhi syarat yang ditetapkan pada setiap malam atau Muharram, kamu mesti minum darah segar satu gelas.

“Lepas tu lumurkan muka dan lengan kamu dengan darah. Sebaik-baiknya darah manusia yang kamu bunuh sendiri, tidak kira orang dewasa atau kanak-kanak.

“Paling baik darah kanak-kanak yang berusia antara dua hingga lima tahun. Jika kamu tidak menunaikan syarat-syarat yang ditetapkan, kamu akan menderita sakit yang sukar dikesan dan payah sembuh.

“Pada mulanya kamu tidak selera makan, kamu jadi kurus kering, muka kamu nampak tua dari usia kamu sebenar.

“Kesudahannya, kamu di panah petir atau jatuh dari tempat tinggi. Itu saja yang dapat diterangkan kepada kamu,” perempuan suruhan pun mengakhiri ungkapan amanat untuk Maziah.

CAKAR

Mahaguru melepaskan gelas dari tangannya, jatuh atas tangan Maziah sebelum jatuh ke mulut lubang yang ternganga.

Bila sudah dipasti yang gelas sudah berada dalam lubang, perempuan suruhan segera menimbus gelas dengan tanah sehingga rata.

Macam tadi, perempuan suruhan menggunakan tangannya untuk mencakar tanah.

“Buka mata dan bangun,” kata mahaguru. Maziah pun membuka mata dan bangun. Perempuan suruhan dan orang kanan hulurkan telapak tangan pada Maziah. Mereka berjabat tangan penuh kemesraan.

“Kamu sudah tamat,” mahaguru tepuk bahu Maziah dengan penuh mesra.

Mahaguru dan orang kanannya kembali duduk di tempat asal. Perempuan suruhan memerintahkan Maziah supaya duduk di sebelah kanan orang kanan mahaguru.

Satu penghormatan untuk Maziah yang baru ditauliahkan.

Setakat ini, belum ada yang lulus ujian dan menerima tauliah disuruh duduk sebaris dengan orang kanan mahaguru.

Saya lihat wajah mahaguru cukup ceria, barangkali dia sudah bertemu dengan murid atau pengikut yang dicarinya selama ini.

Mahaguru memetik ibu jarinya sambil merenung tajam ke arah perempuan suruhan.

“Teruskan.”

“Baik,” perempuan suruhan bersuara lembut.

Mahaguru membetulkan duduknya, biar selesa. Dengan jari telunjuk mahaguru meraba hujung misai sebelah kanan.

“Kamu.”

Perempuan suruhan menuding jari telunjuknya ke arah lelaki yang ditendangnya tadi supaya mara untuk menjalani ujian. Lelaki itu disuruh melakukan seperti yang dilakukan oleh Maziah.

“Sekarang kamu mesti melangkah dengan membelakangi mahaguru.”

Lelaki itu segera menganggukan kepala.

“Jalan sekarang,” jerkah perempuan suruhan.

Tanpa membuang masa lelaki itu pun melangkah dan saya melihat mahaguru dengan sebilah kapak di tangan terus meluru ke arah lelaki tersebut. Belakang lelaki itu dikapak dengan sekuat hati.

Ternyata mata kapak tidak dapat melukakan kulit belakang lelaki itu. Cuma bajunya sahaja yang terkoyak.

“Kamu lulus ujian, sekarang kamu terangkan kepada aku siapa kamu yang sebenar,” soal mahaguru sambil menyerahkan kapak kepada perempuan suruhan. Mahaguru kembali ke tempat duduknya.

“Nama saya Wan Deraman, berasal dari Pengkalan Kubur, Kelantan. Umur baru dua puluh lima tahun. Masih bujang, tak ada kerja tetap.

“Kadang-kadang ambil upah seludup beras dari Siam ke Kelantan. Kadang-kadang buat kerja tarik kereta, kadang-kadang ambil upah bunuh orang.

“Kerja bunuh orang saya buat di kawasan Siam terutama di Golok. Dua kali saya ditangkap polis Siam dan Malaysia, saya berjaya melarikan diri.”

“Siapa ajak kamu kemari?”

Lelaki itu segera menudingkan hujung telunjuknya ke arah Maziah yang duduk bersimpuh di sisi orang kanan mahaguru.

“Tujuan kamu kemari untuk apa?” perempuan suruhan pula menyoal.

Ada rasa keresahan di wajah Wan Deraman. Mungkin dia tidak menduga sama sekali yang perempuan suruhan itu mahu mengemukakan soalan sedemikian.

“Jawab pertanyaannya, dia bertanya atas perintah aku,” kata-kata dari mahaguru membunuh keraguan yang berputik dalam dada Wan Deraman.

“Menuntut ilmu untuk mencari kekayaan. Saya tak sanggup hidup susah. Orang susah selalu dipandang rendah, orang kaya selalu dihormati.”

Mahaguru tersentak mendengar jawapan dari Wan Deraman. Wajah anak muda itu direnungnya sejenak.

Barangkali dia mahu membaca rahsia hati anak muda di wajah yang resah.

“Untuk kekayaan dan kemewahan, kamu sanggup minum darah dan hempedu perempuan yang mengandung tujuh bulan?” Mahaguru menyoal.

“Sanggup.”

“Bagus. Aku harap bila balik ke Kelantan, kamu kembangkan ilmu ini. Caranya kamu mesti menjadikan diri kamu ulama berdakwah. Di samping itu, kamu tanamkan ajaran yang kamu dapat ini pada pengikut kamu.”

“Baik mahaguru, semuanya akan saya cuba.”

“Bagus, ambil tempat kamu di sana,” di wajah mahaguru terukir senyuman. Dua tiga kali dia mengurut batang lehernya.

Perempuan suruhan pun menyuruh Wan Deraman duduk berhampiran dinding buluh sebelah kanan.

Wan Deraman disuruh duduk bersila, berpeluk tubuh, jangan bercakap sepatah pun. Kalau dilihat apa-apa ganjil jangan ditegur.

“Tarik peti hitam dekat Wan Deraman dan buka didepannya. Kalau dia lari kamu tikam dengan lembing ini,” orang kanan keluarkan arahan kepada perempuan suruhan.

Kerana perempuan suruhan agak lambat bertindak, orang kanan naik darah.

“Cepatlah binatang.”

“Baik.”

Perempuan suruhan segera menuju ke peti hitam yang terletak di suatu sudut yang samar. Dengan tali belati, peti hitam ditarik ke depan Wan Deraman.

Perempuan suruhan terus mahu membuka tetapi dia dihalang oleh orang kanan mahaguru.

“Kenapa?” perempuan suruhan menoleh ke arah orang kanan.

“Kamu ambil ini.”

Orang kanan segera membaling lembing ke arah perempuan suruhan. Bagaikan kilat perempuan suruhan mengelak dan menyambar lembing yang menuju ke dadanya.

Kalau dia lambat bertindak, sudah pasti mata lembing terbenam ke dadanya.

“Teruskan.”

Dengan tangan kiri perempuan suruhan membuka peti hitam. Di tangan kanannya tersedia lembing yang matanya menghala ke bahagian perut Wan Deraman.

Dia sudah diberitahu dibahagian mana tubuh Wan Deraman boleh ditembusi senjata. Selain dari bahagian tersebut tubuh Wan Deraman tidak mampan oleh sebarang senjata.

SEKELIP

Sebaik saja peti hitam dibuka, seekor ular sawa sebesar pokok pinang bergerak keluar secara perlahan-lahan menuju ke arah Wan Deraman yang duduk bersila.

Lidah ular yang bercabang dan panjang itu menjilat-jilat seluruh tubuh Wan Deraman.

Kepalanya menyondol-nyondol celah kangkang Wan Deraman menyebabkan tubuh Wan Deraman terangkat sedikit.

Dalam sekelip mata sahaja tubuh Wan Deraman terus di lingkaran ular sawa tersebut kecuali bahagian leher dan kepala.

Peliknya, sebahagian dari badan ular masih berada dalam peti hitam. Kerana itu saya tidak dapat mengagak berapa panjang badan ular itu.

Kepala ular dan kepala Wan Deraman berdekatan, sekali pandang kelihatan seperti kepala ular berkembarkan kepala manusia.

Lidah ular terus menjilat hidung dan mengucup bibir Wan Deraman yang kelihatan kaku dan pucat.

“Biarkan dia di situ, teruskan upacara ini,”

Mahaguru bersuara lantang.

Perempuan suruhan meninggalkan Wan Deraman yang tubuhnya tenggelam dalam belitan ular sawa. Perempuan suruhan mendekati orang terakhir untuk menjalani ujian.

“Kamu pula.”

Orang yang dimaksudkan oleh perempuan suruhan melompat ke depan. Dia berdiri kaku dan tundukkan kepala beri hormat kepada mahaguru yang sedang meneliti susuk tubuh lelaki yang berkulit hitam, rambut kering.

Di samping bentuk tubuh yang besar dan tinggi, lelaki itu memiliki raut muka yang keras. Misai lebat yang tumbuh liar menambahkan wajahnya kelihatan garang semacam.

Kedua belah keningnya bebulu lebat. Terdapat parut melintang di pipi kiri yang bermula dari hujung dagu membawa ke pelipis.

Mahaguru terus menatap tubuh lelaki itu dari bawah ke atas. Dan dari atas ke bawah.

Perkara itu dilakukannya berulang kali, macam ada sesuatu yang dicarinya disebalik tubuh lelaki yang tegap dan sasa itu.

Rupa-rupanya orang kanan mahaguru juga turut kagum dengan bentuk tubuh lelaki itu. Dia bagaikan tidak sabar untuk melihat lelaki itu menjalani ujian.

“Siapa kamu?” Mahaguru ajukan soalan sambil memperkemaskan silanya. Orang kanannya tersenyum.

Dari bawah pehanya orang kanan mengeluarkan ekor pari yang hujungnya disalut dengan serbuk kaca yang sudah ditumbuk halus.

Dia seperti bersedia mahu menyebat tubuh lelaki itu hingga pecah berdarah. Kemudian dia mahu lelaki itu mengeluh dan mendengus kesakitan.

Semakin lama tubuh itu direnung, semakin resah dia ditempat duduk. Ada perasaan lain yang bertandang dalam kolam hatinya.

Rasa geramnya bertukar menjadi ghairah dan berahi. Dia menggigit bibir dan menahan air liur.

Mukanya menjadi merah padam dan sinar matanya membayangkan rasa ghairah yang bergelora dalam sanubarinya.

Lelaki berbadan besar berkulit hitam secara tidak langsung terangsang oleh tindak tanduk orang kanan mahaguru.

Dalam diam-diam lelaki itu menyorot gerak-geri orang kanan mahaguru dengan ekor mata kirinya. Lelaki itu terlupa untuk menjawap pertanyaan yang diajukan oleh mahaguru kepdanya.

“Siapa kamu, kenapa tak jawab pertanyaan aku tadi?” Mahaguru segera melenting sambil menggenggamkan penumbuk.

Pada saat itu juga orang kanannya melompat lalu meyebat tubuh lelaki itu dengan ekor pari. Lelaki itu mengerang kesakitan.

Orang kanan mahaguru terkhayal dan merasai kepuasan yang tiada taranya akibat mendengar suara lelaki itu merintih.

Bila dia mahu menyebat tubuh lelaki itu untuk kali kedua, mahaguru segera bangun dan merampas ekor pari dari tangan orang kanannya.

“Maafkan orang kanan aku,” lelaki itu anggukkan kepala.

Dari bajunya yang rabak, dapat dilihat kesan ekor pari yang membirat biru di tubuhnya.

“Sekarang terangkan siapa kamu yang sebenar,” mahaguru mengemukan pertanyaan.

Nada suaranya lembut dan ada unsur kesal.

Orang kanan kembali duduk di tempatnya. Dia tidak mahu merenung muka lelaki itu. Mungkin dia merasa malu kerana tidak dapat mengawal perasaannya.

“Nama saya Osman Garing, anak jati Kampung Sungai Tukang Sidin dekat Teluk Anson (Teluk Intan).

“Waktu umur enam tahun dibawa oleh orang tua ke Kampung Balun Bidai, dekat Kampung Gajah. Emak saya nama Lijah Langsat. Bapa saya namanya Ali Duku,” lelaki berkulit hitam berbadan tegap membuka rahsia dirinya.

“Sudah menikah?”

“Sudah. Saya pernah menikah sebanyak 35 kali.”

“Ertinya, kamu ada 35 orang bini,” mahaguru tercengang.

“Iya, semuanya saya ceraikan. Ada yang cerai hidup, ada yang cerai mati.”

“Ah!!” mulut mahaguru terlopong.

Rasa kagumnya terhadap Osman garing terbayang di wajahnya. Dua tiga kali mahaguru picit hujung dagunya.

KOSONG

“Kamu memang hebat, Osman,” puji mahaguru.

“Ceritalah lagi, aku memang senang dengan kehebatan kamu,” sambung mahaguru sambil menggigit bibir.

Keningnya dikedutkan dan matanya merenung kosong ke depan, macam ada sesuatu yang bermain dalam kepalanya.

“Saya pernah tidur sebilik dengan empat orang isteri saya. Malah dalam satu masa saya pernah akad dengan dua wanita sekali gus. Saya boleh melayani empat bini semalam,” ujar Osman Garing. Mahaguru gelengkan kepala.

“Biasanya saya membuat peraturan, bila saya mempunyai empat isteri dalam satu masa, dua isteri saya terdiri dari janda, manakala dua lagi anak dara. Selalunya saya simpan tak lama. Lima enam bulan saya ceraikan.”

“Lepas itu kawin lagi?”

“Iya, saya kawin lagi.”

“Pelik.”

“Tak pelik mahaguru, caranya mudah saja.”

“Mudah macam mana, cuba kamu ceritakan?”

“Begini. Pukul sebelas pagi saya dengan A di kampungnya. Pukul dua petang saya kahwin dengan B di tempatnya. Pukul lima petang nikah dengan C dirumah orang tuanya dan pada sebelah malamnya saya nikah pula dengan si D.

“Semua ke empat-empat isteri itu saya bawa pulang ke rumah setelah seminggu bernikah.”

“Terus bermalam dengan mereka,” mahaguru terus ketawa semahu-mahunya, hingga matanya berair. Orang kanan dan perempuan suruhan hanya pasang telinga saja.

“Saya tak bohong mahaguru, setiap malam saya bersama mereka,” beritahu Osman Garing, setelah ketawa mahaguru berakhir.

“Kamu memang hebat tetapi, pada hemat aku, kamu ni bukan kosong. Kalau nak harapkan paras rupa, tak ada betina yang tertarik,” dengan senyum mahaguru membuat andaian.

“Benar mahaguru.”

“Apa ilmu yang kamu pakai?”

“Penyeri sendi paku buana.”

“Hum…” suara mahaguru terkulum.

Dengan tenang mahaguru menarik nafas. Fikirannya berputar dengan kata-kata yang diucapkan oleh Osman Garing.

Ilmu Penyeri Sendi Paku Buana, bukanlah perkara asing bagi mahaguru.

Ilmu itu sering diamalkan oleh pahlawan-pahlawan di kepulauan Melayu yang berhasrat mahu menikah dengan puteri-puteri raja atau anak dara orang kenamaan.

Biasanya, pahlawan yang berjaya menawan puteri raja akan membawa puteri lari ke tempat lain.

Dalam waktu tertentu dia akan datang semula ke istana lalu merampas kuasa. Puteri yang dikahwininya dijadikan ketua pemerintah.

Ilmu ini berasal dari benua kecil India dibawa datang ke Nusantara oleh pengembang-pengembang agama Hindu.

Ilmu ini bertapak kuat di Bali dan Taroja dan dari situ berkembang ke Jawa, Sumatera dan Tanah Melayu.

Bagi menyatukan ilmu ini dengan pengamalnya, setiap hari, terutama waktu matahari naik, pengamalnya harus duduk bertafakur di atas batu besar di tepi muara sambil menghadapkan wajah ke arah matahari naik.

Bila cahaya matahari memanah muka hingga terpancar peluh, barulah muka dibasuh dengan air tujuh jenis bunga yang sudah diperam semalaman dalam batil.

Selain dari itu, pengamal ilmu ini terpaksa melakukan pemujaan dalam bilik kecil yang tidak diketahui oleh sesiapa pun.

Antara yang dipuja ialah teras kayu yang ditemui dalam sungai atau lombong. Teras kayu itu mestilah menyerupai tubuh manusia yang kedua belah tangannya lurus ke atas.

Bila waktu senja, teras kayu itu diusap dengan asap kemenyan sambil pengamalnya membaca mentera dalam bahasa sanskrit.

Pengamalnya harus mengusap tubuh dengan asap kemenyan. Caranya, dupa diletakkan di bawah punggung.

Bila sudah yakin yang bau kemenyan sudah sebati dengan bau tubuh barulah si pengamal itu keluar dari bilik rahasianya.

“Ilmu itu panas,” kata mahaguru.

Osman Garing jolok lubang hidung kiri dengan tangan kanan. Kata-kata yang diluahkan oleh mahaguru sekali gus membunuh ingatan yang berkembang dalam tempurung kepalanya.

“Maksud mahaguru?”

“Kamu yang menuntut ilmu, tentulah kamu tahu pantang larangnya. Kamu mesti tahu tentang kelebihan dan kekurangan ilmu yang kamu pelajari. Mustahil guru kamu tak menceritakan semuanya pada kamu.”

“Perkara itu, tidak pula diceritakan kepada saya.”

“Eh, kamu ni. Kenapa berguru kepalang ajar.”

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 162/284

BACA: SBDJ Siri 161: Baldi Berdarah


BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

All copyrights for this article are reserved to Sentiasa Panas

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


4 × 2 =