MESKIPUN bergelut dengan pelbagai kisah, 2019 tetap memberikan kenangan terindah buat pelakon terkenal, Rita Rudaini apabila dapat mengerjakan ibadah umrah bersama dua anak, Airit Rayyan Rizqin, 11, dan Airit Rafqa Arjuna, 9, pada penghujung tahun lalu.

Rita berkata, dia tidak dapat menahan sebak tatkala melihat kedua-dua anaknya dapat merenung Kaabah sekali gus dapat menyempurnakan ibadah umrah dengan sempurna.

“Apabila tengok anak merenung Kaabah, hati sayu sangat. Saya hanya mampu menangis. Lagi pula sebelum ini saya selalu pesan, kehidupan mereka ada saya dan Allah SWT saja.

“Kalau suatu hari nanti saya tidak ada pun, mereka tidak berkeseorangan kerana Allah ada dan takkan pernah tinggalkan kita,” katanya.

Rita juga berkongsi, kedua-dua anaknya sentiasa menjadi perhatian orang Arab dan jemaah dari luar negara lain.

“Ramai suka mereka di sana. Paling selalu kena tangkap untuk dipeluk adalah Arjuna. Mungkin orang Arab ingat Arjuna tu anak orang Arab. Malah ada sampai minta izin nak beli.

RITA bersama kedua-dua anaknya ketika mengerjakan ibadah umrah di Makkah.

“Macam Rayyan pun, orang tanya perkara sama. Tapi dia lebih kepada orang Pakistan yang suka. Alhamdulillah ramai sayang dan suka mereka,” katanya.

Apa yang pasti, kunjungan Rita ke sana sedikit sebanyak mengembalikan kenangan lapan tahun lalu ketika dirinya bergelut dalam masalah rumah tangga dengan bekas suami.

“Lapan tahun lalu ketika bergelut dengan kisah rumah tangga, saya membawa diri ke Makkah bersama Rayyan yang baru nak masuk tiga tahun.

“Saya korbankan rasa dengan berat hati tinggalkan anak bongsu yang baru nak masuk setahun untuk datang menyerah diri pada Allah demi mencari jawapan dalam menyelesaikan segalanya.

“Di sana, saya mendapat jawapan. Di sana, Dia menjadikan hati saya kuat untuk tempuh apa saja apabila kembali ke tanah air,” katanya.

Rita berkata, ketika itu apa yang dia mohon tiada lain cuma jangan pisahkannya dengan anak, kuatkan hati serta datangkan perkara baik dalam hidupnya dan anak.

“Saya percaya setiap yang Allah atur dan tulis untuk saya, ada hikmah serta manisnya yang akan diberikan pada kemudian hari. Saya cuma fikir, biar saya kalah dahulu dan menang kemudian,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Harian Metro Rap