LEBIH banyak kawasan di sekitar ibu negara akan disanitasi termasuk di lokasi awam dan jalan raya.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama mesyuarat peringkat tertinggi sudah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan eksesais sanitasi atau nyahkuman secara lebih intensif.

“Kawasan awam termasuk di jalan raya dan tempat dikira sebagai kawasan awam perlu melakukan eksesais sanitasi ini.

“Gerakan sanitasi besar-besaran perlu dilakukan di kawasan luas dan terbuka namun kita perlu melihat apakah bentuk peralatan atau teknologi dan bahan diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses sanitasi di sekitar kawasan Seri Petaling di sini, semalam.

Proses sanitasi bermula 8 pagi itu dilakukan kira-kira 150 anggota dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyahkuman di kawasan awam Seri Petaling.

Annuar berkata, peruntukan RM20 juta menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan disalurkan untuk melakukan operasi sanitasi berkenaan.

“Di Wilayah Persekutuan kita mengikut indikasi diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) apabila terdapat dua kawasan merekodkan jumlah kes tinggi.

“Di kawasan Lembah Pantai ia merangkumi enam Parlimen antaranya Seputeh, Titiwangsa, Bukit Bintang, Setiawangsa dan Wangsa Maju, oleh itu kita akan kecilkan sedikit skop eksesais sanitasi ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • All copyrights for this article are reserved to covid19