KEBAHAGIAAN yang dicipta dua pelakon, Sweet Qismina dan Adam Lee bukan lagi rahsia apabila kedua-duanya mengaku menjalin hubungan.

Malah, kemesraan mereka jelas terpancar di wajah tatkala merakam detik manis bersama dan memuat naiknya di Instagram masing-masing.

Bahagia menjalani kehidupan sebagai pasangan kekasih, Sweet berharap perjalanan kisah cinta mereka berjalan lancar dan berakhir dengan ikatan yang sah.

“Buat masa ini, kami fokus dengan urusan kerjaya masing-masing. Belum ada perancangan untuk fasa seterusnya.

“Alhamdulillah setakat ini hubungan kami berlangsung dengan baik dan tak banyak hal yang berlaku. Apa yang selalu diterapkan dalam hubungan ini adalah kami selalu ada jika salah seorang mempunyai masalah. Saya akan memberikan dia sokongan jika berdepan tekanan dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Mengakui kejujuran dan kepercayaan adalah asas yang penting dalam perhubungan, Sweet bersyukur Adam seorang lelaki jujur dan mudah dibawa berbincang.

Katanya, pada awal perhubungan dia dan Adam sudah berterus terang dan menghargai perhubungan yang terjalin.

“Satu perkara yang saya suka mengenai Adam adalah dia tidak pandai berbohong. Jadi, tidak merisaukan sangat kerana saya percaya dengannya.

“Bercakap mengenai kebimbangan sekiranya dia ‘menggatal’ atau berbuat perkara tidak elok di belakang saya, awal-awal lagi kami sudah berbincang mengenai perkara ini.

“Namun, sekiranya ‘jodoh’ kami tidak panjang saya tidak kesal kerana saya lihat perhubungan yang dilalui bersama ini lebih banyak kebaikan,” katanya.

Teruja berganding dengan Fattah Amin

Kali pertama bergandingan dengan pelakon kacak, Fattah Amin menerusi drama bersiri adaptasi novel popular, Pink Smile di TV3, Sweet cukup teruja.

Sweet berkata, dia tiada masalah sepanjang bekerjasama dengan Fattah, malah mereka berdua pantas mencipta keserasian dalam drama yang bakal ditayangkan mulai 1 Ramadan itu.

“Mungkin masing-masing sudah memiliki pasangan membuatkan tiada kebimbangan ketika kami bekerjasama. Bekerja dengan Fattah memang seronok kerana dia cuba membuatkan orang sekeliling selesa dengannya. Walaupun pada mulanya saya bimbang jika dia tak banyak bercakap tapi tak sangka dia peramah,” katanya.

Menurut Sweet, penggambaran drama terbitan Creative Skill Solution Sdn Bhd itu terpaksa dihentikan seketika susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak Covid-19.

Sweet berkata, drama itu bakal memberi hiburan kepada penonton kerana jalan ceritanya santai dan tidak berat.

“Saya sudah membaca novel ini dan mendapati jalan cerita drama ini sedikit berbeza apabila ada penambahan konflik dan watak. Asas drama ini masih sama cuma ada sedikit pertukaran bagi menambah warna kepada penonton nanti,” katanya.

Suka buat kerja amal

Jika sebelum ini Sweet berjaya mengumpul lebih RM5,000 daripada pengikut Instagram bagi tujuan sedekah ketika mengerjakan umrah Januari lalu, kini Sweet meneruskan usaha murninya mencari dana bagi membeli topeng muka untuk diberikan kepada golongan memerlukan ketika ini.

Bekerjasama dengan satu Badan Bukan Kerajaan (NGO), MyMahu, Sweet berjaya mengumpul RM25,000.

“Walaupun tidak berjaya mencapai sasaran, saya bersyukur dengan bantuan golongan yang berkemampuan untuk menyumbang. Saya sangat berterima kasih,” katanya.

Ditanya mengapa dia suka melakukan aktiviti kemanusiaan sebegini, Sweet juga sebenarnya tidak tahu.

“Saya tak tahu tapi mungkin didikan ibu bapa sejak kecil yang sudah mengajar sentiasa memberi membuatkan saya ingin membantu orang dalam kesusahan.

“Bagi saya, walaupun bantuan itu tidak banyak, sedikit sebanyak mungkin dapat ringankan beban mereka,” katanya.

SWEET tak kesal andai ‘jodoh’ tidak panjang kerana segala dilalui bersama lebih banyak kebaikan.SWEET tak kesal andai ‘jodoh’ tidak panjang kerana segala dilalui bersama lebih banyak kebaikan.

All copyrights for this article are reserved to covid19