PENULARAN Covid-19 memberikan kesan yang agak serius terhadap ekonomi global dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Namun, langkah kerajaan memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi dengan jumlah peruntukan besar dilihat melegakan rakyat serta pihak lain yang terkesan.

Ikuti wawancara Penganalisis Ekonomi Fakulti Ekonomi Dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr NuradlI Ridzwan Shah Mohd DalI dan wartawan, Nor ‘Asyikin Mat Hayin bagi mengupas isu ini. Anggaran jumlah kerugian dialami negara dalam Ringgit Malaysia sejak Covid-19 melanda Januari lalu?

  • Anggaran kerugian negara tidak dapat diberikan secara spesifik.

    Namun, RM303 bilion hilang dari pasaran Bursa Saham Malaysia apabila permodalan pasaran mengalami penurunan daripada RM1,646 bilion kepada RM1,343 bilion sejak Januari lalu.

    Kerugian ini merangkumi semua sektor termasuk pelaburan saham seperti unit amanah.

    Kejatuhan harga saham ini boleh dijadikan kayu ukur untuk mengukur tahap kerugian dialami negara.

    DR NuradliDR Nuradli

  • Kesannya kepada ekonomi negara untuk jangka pendek dan panjang?

    Kesan terhadap ekonomi berkait rapat dengan kesihatan, hutang negara, hutang korporat, hutang pengguna, pendapatan negara dan rakyat.

    PKP yang dilaksanakan ketika ini menyebabkan ramai tidak boleh bekerja dan menjalankan perniagaan.

    Ini memberi tiga implikasi ekonomi iaitu semasa Covid-19, selepas Covid-19 berakhir dan seterusnya selepas Covid-19 berakhir (jangka panjang).

    Pertama, kerajaan perlu memberi peruntukan dan bantuan secukupnya kepada barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti peralatan perlindungan peribadi (PPE), penutup mulut, hidung dan sebagainya.

    Ini bagi memastikan pasukan terbabit tidak kecundang sepanjang memberikan rawatan terhadap pesakit Covid-19.

    Kedua ialah rakyat yang terkesan dengan penularan wabak ini.

    Walaupun tidak dijangkiti, tetapi mereka tidak boleh melakukan sebarangan aktiviti secara bebas termasuk berniaga atau bekerja.

    Ini menyebabkan pendapatan mereka terjejas. Golongan B40 adalah kelompok paling terkesan, malah golongan berpendapatan sederhana (M40) turut terkena tempiasnya.

    Bantuan kewangan seperti bantuan secara one off dan Bantuan Sara Hidup (BSH) mampu membantu rakyat.

    Golongan M40 turut terkesan kerana sebahagian daripada mereka diberhentikan kerja.

    Moratorium atau penangguhan sementara bayaran ansuran selama enam bulan adalah satu langkah yang baik dilakukan kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat sepanjang PKP.

    Pada masa sama, perbelanjaan rakyat dapat membantu memulihkan ekonomi negara.

    Ketiga adalah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi kepada perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS).

    Dalam pakej ini, pinjaman ialah pada kadar yang sangat berpatutan dan tidak memerlukan cagaran dengan jaminan kerajaan.

    Memang ada kemerosotan pertumbuhan ekonomi negara yang mana jika sebelum ini, sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) antara 3.2 dan 4.2 peratus.

    Namun, dengan pelaksanaan PKP, ia berkemungkinan akan menyebabkan unjuran KDNK menurun lebih rendah daripada 3.2 peratus

  • Kesan kepada pekerja, peniaga serta sektor penting seperti perkilangan, penerbangan, pelancongan dan perusahaan?

    Impak PKP membabitkan semua sektor, cuma risiko yang dihadapi adalah berbeza bagi setiap sektor.

    Contoh, sektor pembuatan mempunyai risiko kerana membabitkan import barangan dan eksport.

    Pada masa ini, Malaysia seperti berada dalam era ekonomi tertutup, maksudnya kurang menjalankan aktiviti import dan eksport.

    Ini kerana negara lain turut terkesan dengan Covid-19 (kurang menjalankan aktiviti import dan eksport).

  • Bagaimana penangguhan pembiayaan dan pengeluaran akaun dua KWSP membantu merancakkan ekonomi negara?

    Apabila rakyat mempunyai wang, mereka boleh berbelanja.

    Ini dapat meningkatkan kecairan pasaran ekonomi negara.

    Apabila pengguna berbelanja, secara langsung ia merancakkan ekonomi negara.

    Saya sarankan kepada masyarakat supaya tidak melepaskan peluang ini untuk membuat pengeluaran akaun dua KWSP.

  • Ramai yang takut berbelanja kerana bimbang ekonomi merudum sedangkan kerajaan menggalakkan perbelanjaan bagi merancakkan ekonomi?

    Betul. Namun, kita perlu mengutamakan perbelanjaan barangan keperluan.

    Selepas itu, boleh memenuhi kehendak dan kemewahan seperti melancong dan sebagainya.

    Dalam kitaran ekonomi semasa proses pemulihan, memang seperti itu.

    Apabila rakyat mula pergi melancong, bermakna ekonomi negara hendak pulih.

  • Golongan B40, asnaf antara yang terjejas teruk. Apakah kaedah sesuai bagi membantu mereka?

    Ia dalam bentuk bantuan kewangan seperti pemberian zakat, Bantuan Sara Hidup (BSH) dan melalui bantuan one off.

    Pada waktu ini, wang zakat perlu dikeluarkan dan diagihkan kepada yang memerlukan, kemudian memperluaskan dengan menggunakan instrumen kewangan berasaskan wakaf.

    Wang wakaf boleh digunakan untuk membina hospital bagi merawat pesakit Covid-19 yang kian meningkat.

    Tetapi, paling utama ialah pengagihan zakat kerana ketika ini adalah waktu paling sesuai.

    Ini disebabkan ramai golongan B40 dan asnaf tidak mempunyai sumber pendapatan semasa PKP.

    Namun, ada juga golongan M40 tidak mempunyai pendapatan kerana diberhentikan kerja.

    Dalam keadaan ini, mereka juga dikira sebagai asnaf yang layak menerima agihan zakat.

    Mereka yang tidak mempunyai pendapatan dikategorikan golongan fakir atau miskin kerana ada had kifayah (kadar kecukupan) yang berbeza mengikut negeri.

    Jika had kifayah di sebuah negeri ialah RM3,000 sebulan (contoh bagi ketua keluarga yang mempunyai tanggungan isteri dan tiga anak), tetapi dalam tempoh pelaksanaan PKP ini mereka tidak mempunyai pendapatan.

    Secara tidak langsung, mereka termasuk dalam golongan miskin (jika pendapatan kurang daripada had kifayah RM3,000.

    Sekiranya pendapatan kurang daripada RM1,500, mereka dikategorikan sebagai fakir dan layak menerima bantuan zakat kerana tidak mempunyai pendapatan.

  • Apa yang perlu kerajaan lakukan lagi bagi membantu golongan pekerja, syarikat serta lain-lain yang terjejas dengan Covid-19?

    Antara usaha kerajaan ialah menerusi bantuan RM600 sebulan kepada mereka yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, pengeluaran akaun dua KWSP sebanyak RM500, moratorium, BSH dan agihan zakat.

    Tidak dinafikan, bantuan ini menyebabkan negara berhadapan masalah kewangan kerana ketika ini hutang negara ialah 52 peratus berbanding KDNK.

    Kemungkinan juga kerajaan terpaksa menaikkan kadar hutang negara pada tahap maksimum iaitu 55 peratus.

    Dalam keadaan ini, negara tiada pilihan dan berkemungkinan terpaksa melakukan sebegitu (memaksimumkan tahap hutang negara) kerana lebih mengutamakan kebajikan rakyat dalam situasi genting ini.

    Ditambah pula dengan kejatuhan harga minyak dunia, ia mengurangkan pendapatan kerajaan.

    Tetapi, kerajaan perlu melaksanakan (pakej rangsangan ekonomi) untuk merancakkan semula ekonomi supaya pemulihan ekonomi negara dapat dicapai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • All copyrights for this article are reserved to covid19