“SAYA kehilangan tangan kiri sejak 12 tahun lalu namun sanggup bekerja sebagai runner (penghantar barangan) sepanjang enam tahun ini demi rezeki halal.”

Itu kata orang kurang upaya (OKU), Mohd Hafis Abdollah, 31.

“Ada ketikanya saya tidak ambil upah penghantaran dengan caj sepatutnya kerana saya rasa pelanggan itu lebih memerlukannya daripada saya.

“Selain itu, saya juga hanya akan ambil duit minyak saja jika saya dapati keadaan kewangan pelanggan kurang memuaskan,” katanya.

Menurut Mohd Hafis, dia melakukannya kerana simpati dan faham dengan keperluan golongan itu.

Katanya, sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, berlaku peningkatan luar biasa membabitkan pesanan pelanggan.

“Peningkatan ini mungkin berlaku kerana orang ramai tidak mahu keluar rumah dan lebih selesa menggunakan khidmat penghantar barangan.

“Ramai pelanggan membuat pesanan berkaitan barangan keperluan harian seperti beras, tepung, gula dan minyak,” katanya.

Katanya, dia membuat penghantaran di sekitar Temerloh, Bentong, Maran, dan beberapa lokasi lain.

Namun sepanjang PKP, dia memberi fokus kepada Temerloh saja.

“Itu pun saya tidak menang tangan kerana setiap hari, saya banyak menerima pesanan,” katanya.

MOHD Hafis ketika menghantar barangan keperluan pelanggan.MOHD Hafis ketika menghantar barangan keperluan pelanggan.

Menurut Mohd Hafis, tugas sebagai penghantar barangan juga mempunyai risiko kerana perlu berdepan dengan pelbagai ragam selain risiko jangkitan Covid-19.

Katanya, dia mengambil langkah keselamatan diri dengan menggunakan sarung tangan, cecair pembasmi kuman dan penutup mulut.

“Saya akan terus melakukan kerja ini kerana bukan saja dapat membantu masyarakat malah rezeki diperoleh juga cukup untuk tampung hidup,” katanya.

Sementara itu, penghantar barangan berpangkalan di Melaka, Rizanizam Abdul Hamid, 39, berkata, setiap hari pasti ada pesanan baharu malah ada permintaan daripada pelanggan yang terpaksa ditangguhkan kepada hari berikutnya memandangkan purata penghantaran sehari boleh dibuat sekitar lima hingga enam saja.

“Ada yang melakukan pesanan untuk membeli sehingga 60 jenis barangan dan pastinya ia mengambil masa yang lama kerana tidak semua barangan dijual di satu tempat, ada ketika saya terpaksa mencari di tempat lain.

“Tempoh ini umpama durian runtuh buat saya, walaupun penat ia berbaloi. Memang tidak dinafikan saya terkejar-kejar dari satu lokasi ke lokasi lain.

“Kebiasaannya, pelanggan memesan barangan keperluan seperti beras, minyak, gula dan barangan kering lain,” katanya yang juga bekas wartawan Harian Metro.

All copyrights for this article are reserved to covid19