Dari kiri: Pengarah Kumpulan Ramly, Siti Hayu Dato’ Dr Ramly, Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Ramly, Dato’ Dr. Hj. Ramly b Mokni, Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan Korporat HLB, Yow Kuan Tuck, Pengerusi HLISB, Datuk Dr. Md Hamzah Md Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Jasani Abdullah

Kuala
Lumpur, 5 Disember
– Kumpulan Ramly (Ramly) melangkah ke era
digital dan mentransformasi perniagaannya dengan Hong Leong Islamic Bank
(“HLISB” atau “Bank”). Transformasi ini merupakan sebahagian daripada usaha
Ramly bagi memastikan perniagaan mereka memenuhi tuntutan ekonomi digital dan masyarakat
tanpa tunai di Malaysia.

Pelopor
industri makanan Halal negara akan mengguna pakai penyelesaian perbankan
digital HLISB termasuk pengurusan tunai dan likuiditi menerusi HL ConnectFirst,
platform perbankan dalam talian dan mudah alih untuk penyelesaian perniagaan
dan pembayaran. Semua produk serta perkhidmatan kewangan HLISB yang dinyatakan
mematuhi undang-undang Syariah.

Ketua
Pegawai Eksekutif HLISB, Jasani Abdullah menjelaskan bahawa salah satu daripada
bidang tumpuan Bank ialah meyumbang terhadap perkembangan industri Halal
tempatan terutamanya sektor makanan menerusi penyediaan produk, perkhidmatan
dan penyelesaian perbankan yang mematuhi undang-undang Syariah dan berteras
digital.

“Industri Halal sedang
berkembang pesat bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia dengan sektor
makanan mewakili 60% industri berkenaan[1].
HLISB menyasarkan untuk memimpin usaha dalam meningkatkan lagi kekuatan
komuniti perniagaan Halal dalam era di mana syarikat perlu menyesuaikan
perniagaan mereka ke arah Revolusi Industri 4.0. Ramly, salah satu jenama
makanan Halal tempatan yang popular, sebagai rakan kongsi utama Bank menandakan
detik penting dalam perjalanan kami bagi menyokong industri Halal dan menjadi
peneraju perbankan digital Islam di Malaysia.”

Untuk bersaing dengan migrasi ke ekonomi tanpa tunai yang pesat, Ramly akan menggunakan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang disediakan oleh Bank iaitu All-in-One merchant Point-of-Sales terminal di semua kedai, bistro serta kiosk Ramly di seluruh negara. Terminal tersebut membolehkan Ramly menerima semua pengendali kad dan e-Dompet utama seperti Boost, TNG e-Wallet, WeChat Pay, AliPay dan Samsung Pay.

“Kami sedang menuju kepada fasa
pertumbuhan Ramly yang seterusnya dan kami menyedari bahawa wujudnya keperluan
untuk beralih ke arah model perniagaan yang lebih digital memandangkan negara
juga sedang menuju ke arah ekonomi digital. Kami yakin bahawa dengan mendalami
dan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama kami dengan HLISB, kami berupaya
mengurangkan kos sambil meningkatkan lagi kecekapan dan mengoptimumkan operasi
kami. Pada masa yang sama, peralihan digital ini juga dapat memuaskan pelanggan
kami yang sering memilih pembayaran tanpa tunai,” kata Pengerusi dan Pengarah
Urusan Kumpulan Ramly, Dato’ Dr. Haji Ramly bin Mokni.

Jasani menambah bahawa HLISB
sentiasa komited membantu para pelanggan mengembangkan lagi perniagaan mereka menerusi
ekosistem dan keupayaan perkhidmatan kewangan bersepadu.

“Produk dan perkhidmatan
penyelesaian perbankan kami direka khusus bagi memenuhi keperluan para
pelanggan. Proses digitisasi penyelesaian perbankan kami bukan sahaja mampu
melicinkan urusan dan memberikan pengalaman perbankan yang lancar kepada
pelanggan tetapi turut memperbaiki proses dalaman mereka,” kata Jasani.

Dalam masa yang akan datang, Ramly dan HLISB merancang
untuk membantu pengusaha gerai kecil-kecilan jenama ‘Ramly Burger’, yang
kebanyakannya menjalankan perniagaan berasaskan tunai untuk turut sama beralih
kepada penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang disediakan oleh HLISB. Usaha
ini bertujuan membantu peniaga mikro menjadi sebahagian daripada ekonomi
digital dan merealisasikan wawasan masa depan yang merangkumi perkhidmatan
kewangan digital dan keterangkuman kewangan untuk semua di negara ini.



[1] Halal Industry Development Corporation, “Food & Beverage”. http://www.hdcglobal.com/publisher/bhis_food_and_beev. Accessed on 9 November 2019

            <br>All copyrights for this article are reserved to <a href="https://www.majalahlabur.com/hebahan/ramly-melangkah-ke-era-digital/" target="_blank" rel="noopener noreferrer">Cukai Digital</a>