Perkhidmatan digital di negara ini bakal berdepan kenaikan caj langganan perkhidmatan.

SHAH ALAM – Lebih 10 juta pengguna perkhidmatan digital di
negara ini bakal berdepan kenaikan caj langganan perkhidmatan kesan
daripada pelaksanaan Cukai Perkhidmatan Digital dikuatkuasakan bermula
hari ini.

Pelaksanaan
cukai perkhidmatan digital sebanyak enam peratus itu diumumkan kerajaan
sebelum ini selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Cukai
Perkhidmatan (Pindaan) 2019.

Antara penyedia perkhidmatan digital
popular dikenakan cukai ini termasuk Netflix, Spotify, Amazon,
pengiklanan di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram,
pengkomputeran awan, aplikasi dan permainan di telefon pintar.

Susulan
itu, beberapa penyedia perkhidmatan asing berkenaan sudah mengumumkan
kenaikan caj langganan perkhidmatan kepada pengguna di negara ini
bermula tahun hadapan.

Sebagai contoh, Facebook (FB) baru-baru
ini mengumumkan akan mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)
sebanyak enam peratus kepada semua pelanggannya.

Berdasarkan
notis pengebilan cukai dimuat naik oleh Facebook menyatakan bahawa ia
membabitkan pengiklan yang mempunyai alamat di negara ini.

Cukai
perkhidmatan ini ditambah untuk setiap kali pengguna dicaj bagi iklan
dimuat naik dan ia tidak mengambil kira sama ada iklan itu dibeli
menerusi Facebook atau tujuan perniagaan atau peribadi.

Selain
itu, pengenaan nilai caj SST sama turut diguna pakai Adobe kepada
mana-mana pelanggan yang menggunakan perkhidmatan Adobe Creative Cloud.

Syarikat Adobe menjelaskan pelanggan akan dikenakan caj
tambahan ini apabila memperbaharui pelan mereka sama ada bulanan atau
tahunan.

Begitu juga dengan syarikat enjin carian terkemuka
global, Google yang akan mula mengenakan caj cukai perkhidmatan 6
peratus bagi perkhidmatan dan urus niaga digital membabitkan pelanggan
negara ini.

Google dalam satu kenyataan disiarkan Nikkei Asian
Review berkata, kutipan cukai itu dilaksanakannya bagi mematuhi
undang-undang cukai di negara ini.

Terbaharu, penyedia servis
penstriman video terkenal, Netflix, telah mengumumkan kenaikan harga
tiga daripada empat pakej langganan yang ditawarkan.

Penyelarasan
harga itu akan bermula 9 Januari 2020 ini susulan pelaksanaan Cukai
Perkhidmatan Digital di negara ini bermula esok.

Tiga pakej
langganan terlibat kenaikan harga terdiri pakej Netflix Basic daripada
RM33 kepada RM55 sebulan, Netflix Standard (RM42 kepada RM45 sebulan)
dan Netflix Premium (RM51 dinaikkan kepada RM55 sebulan).

Bagaimanapun, harga pelan Netflix Mobile masih tidak berubah dan kekal pada harga RM17 sebulan.

Bagi
pandangan sebilangan rakyat, pengumuman kenaikan caj langganan
perkhidmatan berkenaan memberi petanda jelas beban pelaksanaan Cukai
Perkhidmatan Digital akhirnya ditanggung pengguna negara ini sendiri.

Bahkan,
ada pihak menyuarakan kebimbangan berlakunya pengenaan cukai berganda
(cascading effect) kepada pengguna susulan cukai SST turut dikenakan
kerajaan selain Cukai Perkhidmatan Digital terbabit.

Bagaimanapun,
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan menjelaskan kerajaan sudah
menetapkan beberapa layanan bagi memastikan tidak ada masalah penyedia
perkhidmatan dan pengguna tempatan dikenakan cukai berganda.

Antaranya,
kerajaan menyediakan kemudahan ‘group relief’ kepada pengimportan
perkhidmatan bercukai yang layak daripada syarikat pemberi perkhidmatan
tempatan, yang merupakan syarikat dari kumpulan sama berada di luar
negara.

“Dengan kata lain, penyedia perkhidmatan tempatan tidak
perlu dikenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan bercukai
diimport daripada syarikat penyedia luar negara berada dalam kumpulan
sama.

“Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan pengecualian
dari mengakaunkan dan membayar cukai perkhidmatan berdasarkan kaedah
‘self-recipient accounting’ ke atas pengimportan perkhidmatan
profesional dan perkhidmatan pengiklanan (B2B),”katanya.

Kementerian
Kewangan turut menegaskan penyedia perkhidmatan tempatan yang membayar
cukai perkhidmatan kepada penyedia perkhidmatan asing ke atas
pengimportan perkhidmatan digital boleh membuat tuntutan pembayaran
balik daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).

Menurutnya,
perkhidmatan pendidikan jarak jauh bagi semua peringkat termasuk
latihan profesional dan vokasional disediakan secara atas talian tidak
dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai dan tidak dikenakan cukai
perkhidmatan.

“Inisiatif sama juga dilaksanakan terhadap
perkhidmatan atas talian seperti e-newspaper dan bahan bacaan berkaitan
pendidikan, aspek teknikal, saintifik, serta mempunyai nilai sejarah
atau budaya,”katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng
sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 menjelaskan Cukai Perkhidmatan
Digital dilaksanakan bagi memastikan satu ekosistem seimbang diwujudkan
di mana tidak adil bagi penyedia perkhidmatan dalam negara dikenakan
cukai, tetapi mereka di luar negara terlepas daripada pembayaran cukai.

Menurutnya,
langkah kerajaan dalam mengenakan cukai perkhidmatan digital juga akan
mewujudkan ‘level playing field’ atau pentas persaingan seimbang kepada
syarikat tempatan.

“Pelaksanaan cukai digital sebanyak enam
peratus kepada penyedia perkhidmatan digital asing di Malaysia dijangka
berpotensi menjana RM449 juta kepada kerajaan,” katanya.

Mana-mana
penyedia perkhidmatan digital asing yang gagal berdaftar walaupun telah
mencapai nilai ambang lebih RM500,000 setahun boleh didenda tidak
melebihi RM30,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua
tahun.

Hukuman itu berdasarkan Seksyen 56C Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

All copyrights for this article are reserved to Cukai Digital