Selamat datang 5G! Siap sedialah beli ‘smartphone’ yang support 5G…

LANGKAWI, 16 Dis. – Projek Demonstrasi 5G (5GDP) yang sedang dilaksanakan enam syarikat telekomunikasi di pulau ini mula menunjukkan hasil yang amat baik apabila 37 kes penggunaan telah disediakan dalam tempoh dua bulan pelaksanaannya, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

Beliau berkata kes-kes penggunaan 5G di pulau peranginan bebas cukai ini merangkumi pertanian, penjagaan kesihatan digital, pendidikan, hiburan, bandar pintar, pengangkutan pintar serta pelancongan.

Rangkaian 5G adalah satu revolusi di mana bukan hanya untuk rakyat menikmati kelajuan lebih tinggi di telefon bimbit tetapi juga penggunaan yang mempunyai ciri-ciri lebih maju bergantung kepada contoh-contoh penggunaan daripada pelbagai industri.

“5GDP di Langkawi akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan bermula Oktober hingga Mac untuk menunjukkan, mencuba serta mengkaji bolehkah rangkaian 5G ini membawa kebaikan dan apakah yang perlu dilakukan untuk menyediakan aplikasi atau sistem baharu yang membolehkan pihak industri dan syarikat mencapai kemajuan yang lebih baik.

“Saya amat kagum kerana dalam tempoh dua bulan pelaksanaan 37 kes yang memanfaatkan telah disediakan oleh rakan projek. Syarikat telekomunikasi yang terlibat menggembleng tenaga meningkatkan serta menunjukkan bagaimana rangkaian teknologi 5G dapat digunakan pada verticals yang telah ditetapkan,” katanya.

Al-Ishsal yang ‘turun padang’ melihat kes penggunaan 5G di pulau ini pada Sabtu dan Ahad lepas, telah meninjau beberapa 5GDP seperti pemasangan rangkaian wifi oleh edotco Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Program Maxis eKelas di Pusat Internet Kampung Padang Wahid.

Beliau juga meninjau Penyelesaian Keselamatan 5G dan Sekuriti Bandar Pintar oleh Celcom menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia serta Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan.

Al-Ishsal turut mengambil peluang melihat demonstarasi penjagaan kesihatan digital seperti diagnosis jarak jauh, pelancongan perubatan, konsultasi perubatan jarak jauh yang masing-masing dilaksanakan oleh Digi dan U Mobile dengan kerjasama Hospital Sultanah Maliha.

Menyifatkan kerjasama serta komitmen yang ditunjukkan oleh rakan projek, kerajaan negeri Kedah dan pihak berkuasa tempatan sebagai ‘fenomenal collaboration’ Al-Ishsal yakin pelaksanaan 5GDP di Langkawi akan berjaya.

“Pemilihan Langkawi sebagai projek rintis 5GDP amat baik dan tepat kerana apabila melakukan percubaan kita memerlukan ‘control environment’ oleh itu sebagai sebuah pulau yang memiliki semuanya seperti pertanian, pelancongan, pendidikan, hiburan dan penjagaan kesihatan seperti hospital kami mendapati pulau ini amat sesuai.- BERNAMA

All copyrights for this article are reserved to Cukai Digital