POLIS menahan tiga lelaki kerana memiliki gari, alat renjatan elektrik dan pedang di Taman Maluri, kelmarin.

Ketua Polis Daera h Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ketika membuat rondaan di Taman Maluri.

“Ketika rondaan dilakukan semua lelaki berkenaan dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan ke atas semua suspek menemui gari, alat renjatan elektrik dan pedang, dua ‘walkie-talkie’ dan enam telefon pintar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

“Ketiga-tiga suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 28 Mac ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohamed Mokhsein berkata, pihaknya menahan seorang lelaki kerana memiliki pistol angin di Taman Shamelin, semalam

“Ketika rondaan dilakukan, sepasukan anggota polis menahan seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol angin, parang dan lampu suluh berbentuk kayu,” katanya.

Menurutnya, lelaki berusia 46 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan,

“Hasil siastan mendapati suspek turut mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to covid19