Kerajaan kini sedang membentangkan Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi menguatkuasakan hukuman yang lebih tinggi terhadap pemanduan cuai atau dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

Hukuman kepada Pemandu mabuk

RUU tersebut menaikkan tempoh penjara dan nilai denda untuk beberapa bahagian, dengan pesalah berulang berdepan hukuman yang lebih keras.

Bagi kesalahan menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai, Seksyen 41(1) Akta itu akan dipinda dengan meningkatkan hukuman penjara kepada lima tahun berbanding dua tahun sebelum ini. Bagi pesalah berulang, mereka boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun.

Denda di bawah seksyen itu juga dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 untuk pesalah pertama, dengan ulangan kesalahan melibatkan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Penggantungan lesen juga dinaikkan kepada lima tahun berbanding tiga tahun sebelum ini.

Bagi kesalahan pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang mengakibatkan bahaya, RUU itu meminda Seksyen 44 untuk memasukkan hukuman atas kesalahan menyebabkan kecederaan.

Seksyen 44(1A) yang baru menyatakan mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol dan mengakibatkan kecederaan boleh dipenjara antara tujuh hingga sepuluh tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, bagi pesalah pertama.

Pesalah berulang pula boleh dipenjara antara sepuluh hingga 15 tahun dan didenda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Lesen pesalah juga akan digantung sekurang-kurangnya tujuh tahun bagi kesalahan pertama, dan sepuluh tahun bagi kesalahan berulang.

Sementara itu, menurut seksyen itu lagi, mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol dan mengakibatkan kematian, hukuman penjara dinaikkan kepada antara sepuluh hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Pesalah berulang pula berdepan hukuman penjara antara 15 hingga 20 tahun dan denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

Mereka juga dilarang memandu sekurang-kurangnya selama 10 tahun untuk kesalahan pertama, dan sekurang-kurangnya 20 tahun untuk kesalahan berulang.

Semoga memberi manfaat.

sumber: malaysiakini

All copyrights for this article are reserved to Sentiasa Panas