Bekas penyanyi utama kumpulan Visa, Rohisham Hashim atau Sham terkejut terhadap penerimaan peminat apabila dia membuat kemunculan kembali dengan menyertai program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Katanya, dia tidak menyangka apabila keputusan menerima pelawaan syarikat pengurusannya Mind Order Sdn Bhd (MOSB) untuk menguruskan dan menjaganya sepanjang pembabitan dalam program realiti terbitan Astro itu memberikan impak besar.

“Sepanjang pembabitan dalam GV6 saya sibuk dan tidak sempat untuk keluar. Peminat ditemui hanyalah sebahagian yang datang menyaksikan persembahan dilakukan sewaktu raptai atau konsert mingguan.

“Apabila sudah selesai program barulah MOSB memberikan jadual kerja. Saya hanya sempat berehat dua, tiga hari sebelum kembali bekerja dengan menjayakan konsert pihak penaja GV6, Konsert Throwbaek 2019 anjuran Astro dan seterusnya ke Lumut, Perak serta selepas ini menjayakan program terbitan TV3.

“Jujur, saya terkejut dan masih lagi cuba menghadamkan apa yang berlaku dalam hidup ketika ini. Bayangkan saya sudah meninggalkan dunia seni ini hampir 15 tahun dan tidak sangka apabila kembali, peminat menerima saya dengan baik,” katanya.

Katanya, pada peringkat awal dia mengakui tidak pernah terlintas akan kembali kepada dunia seni dan pada fikirnya dalam usia sudah mencecah 48 tahun, ada perkara lain yang perlu diberi tumpuan.

“Sudah tentu perkara pertama adalah keluarga dan dahulu pun saya berhenti daripada dunia seni kerana mahu memberikan tumpuan membina keluarga dan membesarkan anak.

“Saya memikirkan apabila anak sudah sedikit dewasa saya akan menjalani hidup dengan cara yang diinginkan,” katanya.

Begitupun katanya, MOSB membuka semula keinginannya selepas menunjukkan rangka kerjaya seni yang mereka cuba bangunkan kembali untuknya.

“Alhamdulillah tidak sampai masa enam bulan, ia sudah pun dapat direalisasikan.

“Jujur semua yang berlaku terhadap saya sekarang ini datang dari

pada usaha mereka dan benar-benar berterima kasih kepada MOSB,” katanya.

Berdepan dengan situasi di mana menjadi orang popular semula kata Sham, dia sebaik mungkin cuba menyesuaikan diri dan melihat apa yang berlaku dalam hidupnya daripada sudut lebih positif.

“Satu saya harapkan daripada apa yang berlaku sekarang ini adalah, ia mampu menjadi inspirasi dan api pembakar semangat kepada anak.

“Lebih-lebih lagi anak sulung saya, Shakir Zafran kini akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya mahu mereka lihat untuk membina hidup dan memperoleh apa yang saya peroleh sekarang bukan datang dengan mudah,” katanya.

Sham berkata, sebagai anak dia sendiri boleh nampak betapa dia kini semakin sibuk dengan kerja.

“Kadang-kadang tidak pulang dan harus ke luar bandar menghiburkan peminat. Begitu juga sepanjang berada dalam GV6, dia boleh nampak apa yang saya lalui, bagaimana berdepan dengan tekanan.

“Sakit tapi dalam waktu sama perlu menghiburkan orang, Jadi dia nampak kelebihan saya raih sekarang ini juga datang dengan cabaran sangat besar. Kalau orang lain, mungkin mereka sudah menyerah,” katanya.

Katanya, adalah penting untuk anaknya melihat dan menjadikan kerja keras, tekanan serta cabaran yang dia lalui sebelum ini sebagai satu inspirasi supaya mereka turut mencipta kejayaan sama dalam apa juga bidang yang dipilih apabila dewasa nanti.

All copyrights for this article are reserved to Harian Metro Rap