Walaupun negara kita masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020, sudah banyak sektor ekonomi yang telah dibuka termasuk pawagam di seluruh negara. Pembukaan pawagam kepada orang ramai pada 1 Julai lepas dengan mengamalkan Standard Operation Procedure (SOP) yang ketat juga mendapat sambutan ramai.

ASING TEMPAT DUDUK LELAKI DAN PEREMPUAN

Jika sebelum ini Lotus Five Star Cinemas Kuala Terengganu yang telah memperkenalkan sistem pengasingan jantina dalam panggung, kali ini TGV Mesra Mall di Kerteh, Terengganu pula memperkenalkan sistem pengasingan jantina dalam panggung bermula 3 September.

Antara peringatan yang dikemukan untuk orang ramai sebelum masuk ke dalam panggung adalah penonton beragama Islam hendaklah menutup aurat dan penonton bukan Islam hendaklah memakai pakaian yang sopan. Bukan itu sahaja, penonton juga tidak dibenarkan untuk membawa masuk minuman keras yang memabukkan.

SOALAN-SOALAN LAZIM DARI ORANG RAMAI

1.Bagaimana TGV melaksanakan pengasingan tempat duduk bagi penonton berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK)?

Kami telah mengasingkan penonton mengikuti 3 zon seperti di bawah:

• Zon Lelaki – Untuk semua individu atau kumpulan penonton lelaki sahaja.

• Zon Perempuan – Untuk semua individu atau kumpulan penonton perempuan sahaja.

• Zon Keluarga – Untuk keluarga, pasangan suami isteri atau mahram.

2.Dimanakah pengunjung boleh merujuk kepada indikasi pelan tempat duduk?

Indikasi mengikuti warna yang tertentu akan dipamerkan semasa proses pembelian tiket, sama ada di laman web, aplikasi atau kios TGV.

• Biru – Untuk semua individu atau kumpulan penonton lelaki sahaja.

• Merah Jambu – Untuk semua individu atau kumpulan penonton perempuan sahaja.

• Kuning – Untuk keluarga, pasangan suami isteri atau mahram.

3.Bagaimana TGV tentukan individu atau pasangan yang sudah berkeluarga?

Pasangan suami isteri perlu mengemukakan kad nikah atau dokumen yang berkaitan sebagai bukti pengesahan perkahwinan. Staf kami akan melakukan pemeriksaan terhadap individu, kumpulan atau pasangan yang hadir ke pawagam ini.

4.Adakah TGV akan menyediakan tempat duduk baharu kepada individu, kumpulan atau keluarga yang tersalah beli tiket tanpa mengetahui perlaksanaan pengasingan tempat duduk ini?

Kami akan sentiasa berusaha untuk membantu penonton yang hadir. Walau bagaimanapun, penukaran tempat duduk hanya boleh dilakukan jika terdapat kekosongan pada waktu itu. Kami sarankan anda untuk menyemak terlebih dahulu sebelum meneruskan pembelian tiket kerana tempat duduk adalah terhad.

5.Mengapakah pelaksanaan pengasingan tempat duduk perlu dilakukan di TGV Mesra Mall?

Ini merupakan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bagi industri hiburan di negeri Terengganu dan semua penonton dikehendaki untuk mematuhinya. Berkuatkuasa bermula 3 September, 2020.

Sumber: TGV Cinemas

All copyrights for this article are reserved to SirapLimau