POLIS menahan enam individu selepas didapati berkumpul untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Laman Tun Sri Lanang, Jalan Niaga di Kota Tinggi, petang hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang tadi, semua individu berusia lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan Task Force Covid-19 Kota Tinggi ketika menjalankan Rondaan Op Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, polis menahan tiga lelaki dan tiga perempuan, selepas didapati melakukan kesalahan tidak mematuhi PKP.

Beliau berkata, ketika anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meronda, kumpulan individu ini bersiap-siap untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir.

“Turut dirampas sebuah pembesar suara mudah alih tanpa wayar dipercayai bertujuan memainkan muzik bagi meraikan sambutan hari lahir seorang daripada individu itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan tidak mengendahkan petugas PDRM dan ATM.

“Pihak polis juga giat mengesan seorang lelaki daripada kumpulan berkenaan yang melarikan diri daripada diperiksa,” katanya.

PEMBESAR suara mudah alih tanpa wayar yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis JohorPEMBESAR suara mudah alih tanpa wayar yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis Johor

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • All copyrights for this article are reserved to covid19