Kembara seni pelakon dan pengacara kelahiran Kuching, Sarawak ini nyata semakin indah sejak beberapa tahun ini.

Ia membuktikan nama Jasmine Suraya Chin bukan sekadar singgah sebentar dalam industri hiburan tanah air.

Namanya semakin utuh sebagai antara pelakon bukan Melayu paling menyerlah ketika ini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan dia antara ikon yang menjadi ikutan ramai berdasarkan semangat juangnya melakar kejayaan membanggakan.

Pelakon filem Paskal dan drama bersiri Adellea Sofea ini bagaimanapun belum terfikir dia layak bergelar ikon walaupun mengidamkan pencapaian itu suatu hari nanti.

“Saya tidak pernah terlintas nak jadi ikon. Sebelum bergelar ikon beberapa aspek penting perlu hadir dalam diri dulu. Antaranya perlu jujur dan ikhlas dalam melakukan apa yang dicintai dan mahukan dalam hidup.

“Dari situ, barulah kita boleh meneruskan niat itu dan meninggalkan impak kepada masyarakat. Kita juga boleh membina watak yang berdaya tahan sepanjang perjalanan itu dan barulah boleh digelar ikon,” katanya.

Walaupun bidang seni menjadi tunjang dalam karier, Jasmine melihat peluang untuk menyumbang kepada seluruh demografi masyarakat.

Dia juga mengintai peluang untuk memberi kesedaran mengenai alam sekitar juga kelak.

“Kalau boleh saya mahu menjadi ikon dalam aspek yang meluas termasuk untuk golongan wanita. Saya mahu mereka sedar bahawa tiada yang terhad dalam hidup ini.

“Saya juga mahu menjadi ikon kepada pencinta haiwan, mempertahankan hak haiwan dan bersuara untuk hidupan itu. Sebagai anak seni, saya ingin menggunakan nama yang ada sekarang dalam mencapai misi berkenaan.

“Kadang-kadang saya sangat sedih apabila kesedaran sebegitu tidak dipedulikan sesetengah orang. Namun, saya percaya jika mengambil bahagian dan memainkan peranan jauh lebih baik. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit, bukan?” katanya.

Kian arif dan faham dengan keperluan industri hiburan, Jasmine juga tidak lekang memperbaiki diri daripada segala sudut. Bagaimanapun, dia tidak menafikan kekangan yang berlaku dalam industri hiburan sering membantutkan ruang buatnya.

Sebolehnya, dia tidak mahu jadikan halangan sebegitu sebagai pematah semangat.

“Paling saya ingin perbaiki sekarang adalah pelat bahasa Malaysia (BM). Saya masih gementar berlakon disebabkan sangat tidak yakin dengan kemampuan saya bertutur baik dalam BM.

“Kadang-kadang, saya rasa sangat terbeban dengan hal itu disebabkan terlalu memikirkannya. Lagipun peluang tidak banyak sangat untuk mendapat watak yang pelbagai dan kerap dapat watak stereotaip baik dalam drama mahupun filem.

“Disebabkan itulah saya rasa banyak lagi kepuasan yang belum saya kecapi dalam lakonan. Saya rasakan sebelum ini terlalu banyak membuang masa pula,” katanya.

Bercakap mengenai industri hiburan, Jasmine berpendapat penggiat seni kini perlu memajukan diri dalam menghasilkan karya yang setanding dengan kualiti luar negara.

Jasmine tidak melihat pengkarya tempatan ada keberanian untuk ke tahap itu.

“Saya berharap pihak terbabit boleh memberi bantuan untuk mengembangkan lagi bakat penulis sedia ada atau mendidik lebih ramai penulis. Mereka perlu berfikiran kritikal dalam menghasilkan karya yang mampu memuaskan hati penonton.

“Penulisan itu sebaiknya perlu lebih berani dan padu. Kita kena contohi Korea Selatan yang memiliki cerita serta pengarahan sangat baik dan Malaysia sejujurnya masih jauh terkebelakang berbanding mereka,” katanya.

BERHARAP industri seni tempatan mampu jadi sehebat Korea Selatan. FOTO Koleksi Jasmine Suraya ChinBERHARAP industri seni tempatan mampu jadi sehebat Korea Selatan. FOTO Koleksi Jasmine Suraya Chin

Malas jaja sisi peribadi

Jika mengikuti perjalanan karier Jasmine, ramai pasti tahu pelakon ini kurang terpalit dengan kontroversi.

Bahkan, dia memiliki rekod yang sangat menyenangkan apabila kehadirannya disanjung dalam industri seni tempatan.

Mana tidaknya, segala apa yang dikongsikan dalam laman sosial hampir 100 peratus mengenai kerja.

Kalau ada pun, dia cuma menarik perhatian ramai apabila tampil dengan gaya seksi di mana-mana acara.

Jasmine mengakui dia memang lebih tenang dengan pendekatan sebegitu memandangkan dia sendiri malas menjaja cerita peribadi.

Baginya, apa yang dipersembahkan di khalayak cukuplah untuk menyenangkan hati mereka.

“Kalau berhubung kisah peribadi, saya sebenarnya tidak tahu apa nak dikongsi dan saya akui memang malas berbuat demikian. Keluarga saya pun terlalu tertutup dengan kehidupan mereka dan sebab itu saya jarang bercerita mengenainya.

“Tapi untuk diri sendiri, saya suka untuk berkongsi apa yang patut saja di laman sosial terutama Instagram. Ramai sukakan foto-foto cantik termasuklah saya dan itulah saja yang biasa saya kongsikan,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmine juga kini dalam proses menunaikan impiannya berjinak-jinak dalam bidang penulisan cerita.

Menurutnya, ia masih dalam peringkat awal namun dia serius untuk melakukannya.

“Saya sedang menulis dua cerita untuk saya kembangkan lagi dengan bantuan orang-orang yang saya sendiri mahu kerja bersama. Ia masih dalam proses mengembangkan idea dan cadangan.

“Saya mahu bergiat serba sedikit dalam bidang ini demi kepuasan dalam berkarya. Saya mahu penulisan saya dapat mengawal penyampaian sesuatu cerita yang ingin dipersembahkan,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to covid19