“JIKA Mama dan Papa tiada nanti, kakak bertanggungjawab jaga adik-adik, pastikan semua kena pergi sekolah dan jangan ponteng,” pesan Zuriana Hasan, 35, kepada anak sulungnya, Nur Afni Nirwani Khairizul, 16.

Zuriana menghembuskan nafas terakhir jam 1 pagi semalam selepas dua bulan bertarung nyawa apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama suaminya, Khairizul Mohamad Noor, 38.

Dalam kejadian jam 5 pagi 9 Februari lalu, Khairizul meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal mereka dilanggar pemandu dipercayai mabuk di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala utara dekat susur ke Perai.

Kini, Nur Afni Nirwani serta adik-adiknya, Nur Istana Nadira,14, Nur Erna Nabila, 12, Nur Qurratul Ain, 7, dan Muhammad Khairi Zafran, 2, bergelar yatim piatu selepas kematian ibu bapa mereka.

Nur Afni Nirwani berkata, beberapa hari lalu dia merasakan keadaan ibunya bertambah baik apabila mampu menggerakkan jari dan membuka mata.

“Saya panggil mama dan mama buka matanya sambil menggerakkan jarinya yang saya fikir mama akan kembali pulih, tetapi semalam (kelmarin) mama tidak sedarkan diri.

“Tidak lama kemudian, kami mendapat panggilan memaklumkan mama sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Bagan Jermal di sini, semalam.

Katanya, sebelum kejadian itu, dia sering dipesan ibunya supaya menjaga adik-beradik.

“Mama pesan jika dia dan papa tiada, saya kena tengokkan adik-adik dan jangan berpisah.

“Pada masa sama, saya berharap orang yang melanggar mama dan papa mendapat hukuman setimpal mengikut undang-undang,” katanya.

Katanya, dia bersama adik-adiknya kini tinggal bersama datuk, Hassan Ismail, 67, dan nenek, Asmalaili Mohd, 59.

All copyrights for this article are reserved to covid19