LELAKI maut ditikam, manakala dua lagi cedera termasuk seorang wanita dipercayai dirogol individu dikenali dalam kejadian di Bachok, hari ini.

Dalam kejadian pada 7 pagi itu, suspek dikatakan memecah masuk rumah ibu tunggal berusia 40-an sebelum dipercayai merogol mangsa yang tidur di dalam sebuah bilik.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner, Abdullah Mohammad Piah berkata, mangsa yang mempunyai lima anak memaklumkan suspek berusia 19 tahun meletakkan pisau di tengkuk mangsa sebelum merogolnya.

“Selepas dirogol, suspek cuba melarikan diri namun ibu tunggal itu menjerit menyebabkan dua lelaki yang sedang tidur di ruang tamu dan dapur rumah berkenaan terjaga dan cuba menangkap suspek.

“Dalam cubaan itu, lelaki berusia 28 tahun maut ditikam di perut dan dada manakala rakannya berusia 25 tahun cedera.

“Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

ABDULLAH menunjukkan gambar suspek remaja, Ahmad Azwanizam Zamri, 19 dicari pihak polis . FOTO Nik Abdullah Nik Omar. ABDULLAH menunjukkan gambar suspek remaja, Ahmad Azwanizam Zamri, 19 dicari pihak polis . FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Abdullah berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat, manakala rakannya yang parah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Katanya, ibu tunggal kematian suami itu tinggal di rumah berkenaan bersama lima anaknya yang berusia dua hingga 17 tahun.

“Kita masih menyiasat hubungan serta kenapa dua lelaki yang meninggal dunia dan cedera itu tinggal di rumah ibu tunggal berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Abdullah berkata, susulan kejadian itu, polis memburu seorang lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, remaja berkenaan dikenali sebagai Ahmad Azwanizam Zamri, 19, dipercayai tinggal di sekitar Bachok.

Mana-mana pihak yang mengenali remaja itu diminta untuk hadir ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

ANGGOTA polis mengangkat mangsa yang maut ditikam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar. ANGGOTA polis mengangkat mangsa yang maut ditikam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

All copyrights for this article are reserved to SirapLimau