PUSAT Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan satu lagi kematian koronavirus baharu (Covid-19) menjadikan jumlah kematian direkodkan di negara ini sebanyak 20 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian itu membabitkan kes ke-780, lelaki warga tempatan berusia 76 tahun.

Katanya, lelaki warga emas itu pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur.

“Beliau dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan mulai 18 Mac.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 4.35 petang, 25 Mac 2020,” katanya menerusi hantarannya di Facebook, malam ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham dalam sidang media di Putrajaya, petang hari ini memaklumkan 172 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,796 kes.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, 172 kes baharu yang dilaporkan hari ini membabitkan 71 kes berkaitan dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling manakala baki 101 kes masih lagi dalam siasatan dan mungkin berkaitan dengan lain-lain kluster.

Sehingga kini, seramai 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 34 kes memerlukan bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • All copyrights for this article are reserved to covid19