“BIARPUN hanya kucing jalanan namun hati siapa tidak tersentuh melihat pergerakan haiwan itu yang terbatas dan hanya mengesot akibat kedua-dua kaki belakangnya lumpuh,” kata pencinta kucing, Norafidah Mat Zin, 40.

Suri rumah yang memiliki 30 kucing baka tempatan dan luar negara itu mengakui tersentuh melihat keadaan kucing jantan terbabit yang tidak berupaya berjalan dengan sempurna ketika anaknya membawa pulang ke rumah lapan bulan lalu.

Norafidah berkata, lebih menyedihkan kucing yang diberi nama Kopi itu turut menghadapi kesukaran membuang air kencing dan pemeriksaan di klinik mendapati haiwan berkenaan mengalami kerosakan saraf pinggang.

Menurutnya, Kopi juga perlu memakai lampin pakai buang kerana sistem pembuangannya tidak boleh dikawal dan melihat keadaannya yang tidak sempurna itu, kucing itu turut digelar kucing kurang upaya (KKU).

“Sebelum ini Kopi pakai lampin pakai buang untuk haiwan, sekarang kami beli lampin bayi saiz S dan tebuk di belakang untuk keluarkan ekornya supaya dia lebih selesa.

“Suami (Raja Abdul Mariq Raja Azidin, 45) belikan kerusi roda khas dan sekarang Kopi semakin membesar jadi kami ubah suai dengan menggunakan paip Polyvinyl Chloride (PVC) supaya dia lebih selesa bergerak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Fasa 1A, Seri Manjung, hari ini.

Katanya, selain Kopi, dia turut mempunyai seekor lagi KKU terbiar iaitu Kepci yang patah kaki kiri hadapan dan sudah dibela sejak awal tahun ini selepas diberikan pelanggan perkhidmatan selenggara kucing yang diusahakannya.

“Kopi dan Kepci sangat istimewa pada saya biarpun tak sempurna dengan pergerakan yang terhad tidak seperti kucing lain namun mereka tetap aktif, kuat makan dan keletahnya mencuit hati kami sekeluarga.

“Memelihara kucing adalah hobi yang dikongsi bersama keluarga dan naluri menyayangi kucing menjadikan kami sanggup menjaga serta merawat kucing terbiar selain kucing diberi orang dan dibeli sendiri.

“Semua kami sayang tidak kira KKU atau normal, malah saya dan suami turut membahasakan diri sebagai mak dan abah kepada semua kucing peliharaan kami,” katanya yang tidak akan memberi KKU berkenaan kepada orang.

Bercerita lanjut, ibu kepada tiga anak itu berkata, dia turut mempunyai dua kucing jantan yang dijadikan induk untuk mengawan dengan kucing betina.

“Saya mengambil langkah memandulkan kucing peliharaan dan hanya beberapa saja tidak dimandulkan. Walaupun dianggap tidak baik saya terpaksa berbuat demikian untuk membantu mengawal pembiakan haiwan itu.

“Selain itu, ia juga dapat mengelakkan masalah lain seperti jangkitan penyakit, meninggalkan rumah ketika musim mengawan dan bergaduh dengan kucing lain.

“Kelebihan memelihara kucing juga dapat menghilangkan bosan dan tekanan selain boleh dianggap sebagai terapi terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini,” katanya yang turut memiliki kucing bengal, parsi, genetta dan munchkin.

All copyrights for this article are reserved to covid19