KUALA LUMPUR – Kerajaan peka dengan isu kenaikan harga dan pengenaan cukai berganda (cascading effect) kepada pengguna susulan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus ke atas perkhidmatan digital yang diimport (cukai digital) bermula 1 Januari ini.

Sehubungan itu, kerajaan akan memanjangkan kemudahan group relief kepada pengimportan perkhidmatan bercukai yang layak daripada syarikat pemberi perkhidmatan tempatan, yang merupakan syarikat dari kumpulan yang sama yang berada di luar negara.

Ini bermakna penyedia perkhidmatan tempatan tidak perlu dikenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan bercukai yang diimport daripada syarikat penyedia luar negara yang berada dalam kumpulan yang sama.

Kerajaan juga akan memberikan pengecualian daripada mengakaunkan dan membayar cukai perkhidmatan berdasarkan kaedah “self-recipient accounting” ke atas pengimportan perkhidmatan profesional dan perkhidmatan pengiklanan (B2B).

Jenis perkhidmatan bercukai yang diimport tersebut adalah merupakan perkhidmatan yang sama disediakan oleh syarikat tersebut.

Tambah Kementerian Kewangan, penyedia perkhidmatan tempatan yang telah membayar cukai perkhidmatan kepada penyedia perkhidmatan asing ke atas pengimportan perkhidmatan digital (B2C) boleh membuat tuntutan bayaran balik (refund) daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan offset berdasarkan amaun sebenar cukai perkhidmatan yang dibayar.

Dalam pada itu, perkhidmatan pendidikan jarak jauh bagi pendidikan peringkat pra-sekolah, pendidikan rendah, menengah dan tinggi termasuk latihan vokasional dan profesional yang disediakan secara dalam talian sama ada oleh penyedia perkhidmatan tempatan atau asing tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan tersebut.

Begitu juga dengan perkhidmatan akhbar dalam talian serta bahan bacaan berkaitan pendidikan, teknikal, saintifik, journal sejarah atau budaya serta penerbitan berkala tidak akan dikenakan cukai baharu itu.

“Pengenaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital yang diimport adalah bagi memastikan layanan yang adil kepada penyedia perkhidmatan tempatan dan mewujudkan “level playing field” kepada kedua-dua penyedia perkhidmatan tempatan dan asing yang menyediakan perkhidmatan bercukai kepada perniagaan dan pengguna di Malaysia.

“Perlu ditegaskan cukai digital hanya dikenakan atas perkhidmatan dan bukan barangan demi melindungi penyedia perkhidmatan tempatan dengan mewujudkan keadaan daya saing yang adil dengan penyedia perkhidmatan luar negara atau “level playing field”.

” JKDM akan mengadakan roadshow / sesi penerangan berkaitan pelaksanaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital yang diimport kepada orang ramai dan juga industri tempatan.

“Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di portal mysst.customs.gov.my,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan di sini hari ini.- MalaysiaGazette

<br>All copyrights for this article are reserved to <a href="https://malaysiagazette.com/2019/12/30/kerajaan-peka-isu-kenaikan-harga-akibat-cukai-digital/" target="_blank" rel="noopener noreferrer">Cukai Digital</a>