PADA 2010, SonaOne masih pendatang baru yang gigih mencari ruang dalam industri muzik.

Memperjuangkan muzik hip hop, dia tidak gentar melakar nama dengan semangat yang cukup membara.

SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Lozach, 31, tidak sukar untuk meraih perhatian.

Berbekalkan keunikan dan identiti tersendiri, peminat terutama pengikut hip hop pantas terpukau dengan jejaka kacukan Melayu-Perancis ini.

Keakrabannya dengan ramai nama besar hip hop termasuk Joe Flizzow dan Altimet turut menjadikan laluannya lebih mudah.

Bagaimanapun, sandaran utamanya tidak lain menerusi karya yang berkualiti dan segar.

Sejak itu, namanya menjadi antara yang paling dominan jika menyentuh mengenai genre hip hop tempatan.

SonaOne berpendapat, hip hop kini sudah menjadi gaya hidup dan tidak patut diperlekehkan.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia berhenti merujuk hip hop itu sekadar satu babak dalam kehidupan. Hip hop sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, baik di seluruh dunia mahupun di rumah.

“Daripada apa yang semua orang dengar sebagaimana muzik pop juga, hingga kepada cara orang berpakaian mahupun percakapan. Itu sebenarnya takrifan hip hop yang kini jadi ikutan ramai,” katanya.

SonaOne mengakui beruntung apabila dirinya antara pejuang hip hop sejati pada ini.

Baginya, penerimaan terhadap gaya hidup itu sudah cukup membanggakan sekarang selain mencetus inspirasi kepada ramai.

Bukan sekadar melihat secara keseluruhan dalam dunia, dia menyifatkan peredaran masa dan teknologi turut menjadi faktor penting kemaraan muzik hip hop.

Justeru, dia sendiri tidak mahu gaya hidup itu dipandang remeh oleh sesiapa pun.

Hakikatnya, dia yakin perjuangannya sendiri mahupun mana-mana penyanyi hip hop lain tidak mungkin akan berkubur begitu saja.

Dia mengakui seronok apabila semakin ramai sebenarnya larut dalam gaya hidup berkenaan.

“Ia sangat mengujakan apabila menerima sokongan padu tidak terhingga seperti yang ada sekarang. Apatah lagi dengan sokongan Internet dan media sosial, tiada lagi sempadan untuk orang mencintai dunia hip hop.

Malah, hip hop kini bukan lagi perkara asing dan sudah menjadi budaya dunia yang betul-betul kuat. Di Malaysia sendiri, hip hop sudah hidup sejak penghujung era 1980-an dan ia tidak mungkin akan berkubur sampai bila-bila,” katanya.

MAHU terus martabat gaya hidup hip hop.MAHU terus martabat gaya hidup hip hop.

Walaupun dunia dilanda kebimbangan berikutan wabak Covid-19, ia bukan halangan buat SonaOne untuk melancarkan lagu terbarunya berjudul Bomba.

Lagipun, perancangan itu sudah dibuat lebih awal sebelum wabak itu serius.

Dia memutuskan untuk terus tampil dengan karya yang bersifat lebih peribadi berkenaan perjuangannya.

Menerusi lagu itu, dia berharap mesejnya akan mencetus inspirasi kepada ramai di luar sana dalam apa cara sekalipun.

“Lagu ini mengenai perjuangan saya dalam arena hip hop di rantau ini. Mesej dalam Bomba berkaitan keterbukaan saya bercerita mengenai sesuatu yang bukan bohong semata-mata.

“Ia menceritakan api kemaraan dalam diri yang masih membara dan bukan tinggal asap lagi. Lagu ini menyeronokkan, tersendiri dan dibuat dalam tiga bahasa yang mana sangat dekat dengan diri saya,” katanya.

Menariknya lagu itu, liriknya diselang-seli dengan tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, dan Perancis.

Disadur elemen pop R&B, dan hip hop, SonaOne mahu meruntuhkan jurang pemisah karya yang memfokuskan satu elemen saja.

Berkongsi lanjut, dia berkata Bomba adalah lagu transmisi pertamanya untuk album baharu akan datang berjudul Freestyle Play.

Dia mengakui transisi muziknya kini lebih ke depan dan melangkaui imaginasi pendengar.

“Saya menyasarkan untuk pendengar sendiri dapat merasai perasaan saya berada dalam studio ketika merakamkan lagu ini. Saya mahu mereka melangkaui had imaginasi sehingga ke tahap yang tidak pernah mereka bayangkan.

“Bomba hanya bayangan awal kepada karya lain yang akan mendatang. Pada masa ini, percampuran muzik pop dan hip hop adalah segalanya yang menjadikan landskap muzik lebih padu,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupan peribadinya, SonaOne berkata, dia akan mengumumkan secara terbuka sekiranya dia bakal menamatkan zaman bujangnya dengan wanita yang masih menjadi rahsia.

SonaOne berkata, sekiranya tahun ini bakal menyaksikannya melangkah ke alam perkahwinan, dia tidak menolak.

“Apabila sudah buat keputusan untuk berkahwin, saya akan maklumkan kepada semua. Joe (Flizzow) sudah bertemu pasangan hidupnya, mungkin selepas ini, giliran saya pula. Siapa tahu, kalau 2020 adalah tahun untuk saya menamatkan zaman bujang,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to covid19