PELAKON dan pengacara popular, Janna Nick, 25, terharu apabila masih diberi kepercayaan mengendalikan program hiburan popular, Melodi di TV3.

Episod pertama program berkenaan tahun ini semalam menyaksikan Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner muncul bergandingan dengan Awal Ashaari yang menggantikan pelawak, Ajak Shiro.

“Alhamdulillah, saya masih diberi peluang untuk terus belajar. Saya terharu kerana masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan program hiburan nombor satu ini. Saya menganggap pasukan Melodi sebagai satu keluarga dan studio Melodi di Sri Pentas adalah rumah saya.

“Saya selesa bekerja dalam pasukan. Dalam masa sama, saya suka diberikan peluang sekali lagi kerana dengan Melodi saya dapat berjumpa dengan ramai selebriti tanah air. Dari situ sedikit sebanyak saya dapat menimba ilmu,” katanya.

Mengulas mengenai gandingannya dengan Awal, Janna menyifatkan ia mudah dan tidak sukar mendapatkan keserasian.

“Bekerjasama dengan Awal memang mudah dan tidak sukar untuk mencari keserasian. Lagipun, Awal memang sudah lama mengendalikan program ini. Malah, perbezaan kami ini mungkin menjadikan Melodi 2020 lebih menarik.

“Saya berharap dengan Awal saya dapat peluang untuk belajar menjadi hos yang lebih baik,” katanya.

Program Melodi bersiaran setiap Ahad, jam 12 tengah hari.

All copyrights for this article are reserved to Harian Metro Rap