MASA terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaatkan bilal Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSSAAS), Shah Alam, Hazizul Masdin dengan menyediakan jadual untuk dua anak lelakinya menjadi imam dan bilal secara bergilir di rumah.

Hazizul , 37 berkata, idea itu tercetus secara spontan selepas melihat dua anaknya, Muhammad Zulhusni Alfaruqi, 10 dan Muhammad Zulfami Alfarabi, sembilan tahun, berebut menjadi bilal setiap kali mahu menunaikan solat berjemaah.

Bagi mengelak perkara sama berulang, Hazizul mengambil inisiatif menyediakan jadual untuk tempoh sebulan bermula 17 Mac lalu hingga 17 April depan untuk rujukan kedua-dua anaknya itu.

“Sejak bermulanya PKP, tidak banyak aktiviti boleh dilakukan hingga kedua-dua anak saya berebut menjadi bilal setiap kali tibanya waktu solat.

“Bertitik tolak daripada situ, datang idea menyediakan jadual tugasan sebagai imam dan bilal di rumah supaya tidak berlaku lagi perebutan antara mereka.

“Alhamdulillah, kaedah itu berkesan dan mereka dapat mengikut jadual disediakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

JADUAL tugasan sebagai imam dan bilal yang dibuat Hazizul untuk anaknya. FOTO Ihsan Hazizul MasdinJADUAL tugasan sebagai imam dan bilal yang dibuat Hazizul untuk anaknya. FOTO Ihsan Hazizul Masdin

Melihat keberkesanan idea itu, Hazizul tidak menolak kemungkinan meneruskannya selepas tempoh PKP.

Katanya, ini kerana dia mahu memberi semangat kepada kedua-dua anaknya itu supaya menunaikan solat secara berjemaah.

“Ada masanya, saya tidak berada di rumah kerana menjadi bilal di masjid jadi mereka (dua anak lelaki) yang bergilir memimpin solat berjemaah bersama isteri dan dua anak perempuan saya di rumah mengikut jadual disediakan.

“Saya gembira melihat keadaan itu dan akan meneruskan kaedah sama walaupun selepas berakhirnya tempoh PKP.

“Ibu bapa di luar sana juga boleh mempraktikkannya atau tampil dengan idea lebih kreatif asalkan anak kita melakukan aktiviti berfaedah dan kekal berada di rumah,” katanya.

MUHAMMAD Zulhusni bersalaman dengan adiknya, Muhammad Zulfami. FOTO Ihsan Hazizul MasdinMUHAMMAD Zulhusni bersalaman dengan adiknya, Muhammad Zulfami. FOTO Ihsan Hazizul Masdin

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • All copyrights for this article are reserved to covid19