“SAYA anggap apa yang berlaku sebagai peringatan daripada Allah untuk sentiasa mengingatinya,” kata pengusaha kedai komputer, Adnan Faisal, 25.

Adnan memberi reaksi itu ketika ditanya perasaannya yang dibenarkan pulang ke rumah pada 5 petang semalam selepas lapan hari menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebaik disahkan positif koronavirus baharu (Covid-19) selepas tiga ujian saringan dilakukan.

Untuk rekod, Adnan melakukan ujian saringan itu secara sukarela selepas menyedari dirinya mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Menurutnya, dia bersyukur sebaik diberitahu doktor mengenai keputusan ujian yang menunjukkan dirinya bebas daripada jangkitan wabak berkenaan.

Biarpun sudah dibenarkan pulang, Adnan enggan terlalu gembira kerana disyorkan doktor untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari bermula hari ini diikuti dengan dua ujian saringan untuk tempoh dua minggu berikutnya.

Berkongsi pengalaman sepanjang lapan hari berada di wad, Adnan mengakui sedih kerana keadaan tidak mengizinkan untuknya menerima pelawat luar sekalipun dalam kalangan ahli keluarga.

“Mulanya, saya tinggal di wad bersama isteri yang turut positif Covid-12 tetapi hanya untuk dua hari kerana dia dibenarkan pulang selepas disahkan bebas jangkitan wabak itu.

“Kemudian, saya dipindahkan ke bilik lain bersama tiga pesakit Covid-19 dan berada di situ selama dua hari sebelum dipindahkan ke lagi satu bilik untuk menunggu keputusan ujian sebelum dibenarkan pulang.

“Jujurnya, rasa untuk keluar dari wad memang membuak dan kecewa apabila keputusan ujian kekal positif tetapi situasi itu membuatkan saya tersedar pentingnya berdoa selepas berikhtiar kerana hanya Dia dapat menyembuhkan penyakit saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, sepanjang berada di wad, dia diberi makanan berkhasiat ditentukan pakar nutrisi hospital.

Katanya, masa yang ada juga digunakan untuk melakukan senaman ringan dan beribadat.

“Ini kali pertama saya ditahan di wad dan lapan hari itu satu tempoh yang panjang lebih-lebih lagi kerana tiada ahli keluarga atau rakan dibenarkan menziarah.

“Saya hanya dapat berhubung dengan ahli keluarga menerusi panggilan telefon dan WhatsApp saja.

“Pengalaman itu membuatkan saya rasa sunyinya hidup sendiri kerana tidak dapat bertemu isteri dan keluarga seperti sebelum ini.

“Malah, tiada siapa dapat membantu ketika itu melainkan Allah dan apa yang berlaku membuatkan saya bersyukur dengan nikmat diberi,” katanya yang menetap di Taman Midah, Cheras.

Menurut Adnan, dia berterima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi sokongan kepadanya sepanjang menjalani rawatan.

“Alhamdulillah, ramai yang mendoakan dan perkongsian pengalaman saya sebagai pesakit tular di laman sosial. Terima kasih dan saya doakan Allah berikan ganjaran kepada anda semua.

“Buat masa ini, saya tidak boleh terlalu gembira kerana perlu menjalani ujian saringan susulan tetapi lega dapat pulang ke rumah bertemu semula dengan isteri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • All copyrights for this article are reserved to covid19