“WALAUPUN kami berlainan agama, dia sentiasa ambil berat dan baik kepada keluarga suami saya,” kata Siti Shabariya Sahlan, 31.

Wanita itu berkongsi kemuliaan hati pemilik rumah mentuanya dikenali sebagai Eng Chee Kiam yang tidak mengenakan bayaran sewa selama sebulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Shabariya berkata, keluarga mentua menghuni rumah teres dua tingkat di Taman Mulia Jaya, Ampang, sejak 15 tahun lalu dengan kadar sewa RM600 sebulan.

Menurutnya, rumah itu dihuni ibu mentua bersama tiga adik iparnya dan setiap bulan, anak ibu mentuanya berkongsi membayar sewa rumah serta bil utiliti.

“Saya berurusan dengan pemilik rumah untuk pembayaran sewa. Kelmarin (Rabu) secara tiba-tiba pemilik rumah hantar WhatsApp beritahu tidak perlu bayar sewa April.

“Dia minta kami guna duit itu untuk membantu keluarga,” katanya ketika dihubungi menerusi Facebook, hari ini.

Shabariya berkata, mereka jarang berjumpa kerana pemilik rumah tinggal di tempat lain dan hanya berhubung melalui WhatsApp, namun mengakui pemilik kerap bertanya khabar.

“Dia pernah datang ke rumah siap bawa buah tangan. Malah, kalau kami lambat bayar sewa dia tidak pernah tanya atau bising,” katanya.

Katanya, dia terharu dan berterima kasih kepada pemilik rumah yang memahami kesukaran perlu dilalui dalam keadaan PKP ketika ini.

“Di saat getir ini marilah kita semua bersatu hati untuk saling meringankan beban tanpa mengira agama, bangsa dan kaum kerana kita mempunyai matlamat yang sama untuk hidup aman sentosa,” katanya.

Shabariya berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp antaranya dan pemilik rumah di akaun Facebook miliknya sehingga mendapat hampir 5,000 tanda suka dan dikongsi lebih 12,000 orang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • All copyrights for this article are reserved to covid19