Kuala Lumpur: Isteri pengarah Allahyarham Pitt Hanif, Farah Ahmad sudah membuat laporan polis semalam ke atas pengguna laman sosial yang menggunakan nama Kambing Kacak kerana menulis komen biadap dan keterlaluan terhadap dirinya, Pitt dan ibu mentuanya, Fauziah Nawi, baru-baru ini.

Farah ketika dihubungi berkata, ini adalah laporan polis kedua dibuatnya di Balai Polis UTC Dato’ Keramat, di sini, pada jam 7 malam bagi mempertahankan maruah dirinya.

Menurutnya, laporan ini dibuat untuk melindungi keselamatan diri susulan komen biadap dan keterlaluan terhadap dirinya oleh pengguna laman sosial terbabit.

“Cuma hari ini rakan saya ada menyemak akaun Kambing Kacak untuk membuat tangkap layar sebagai bukti untuk diserahkan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia namun pemilik terbabit sudah memadamkannya.

“Saya sendiri tidak dapat melihat akaunnya kerana sudah disekat dan rakan yang menyemak namun ia sudah tiada,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan Farah akan membuat laporan polis kedua terhadap Kambing Kacak untuk tindakan selanjutnya.

Kali pertama dia membuat laporan atas nama akaun itu pada 11 November lalu di Balai Polis UTC Dato’ Keramat.

All copyrights for this article are reserved to Harian Metro Rap