‘Face Mask’ Kurang Sesuai Untuk Anak Bawah 5 Tahun – Pakar

Limited Time!







IPOH, 29 Jun — Penggunaan pelitup separuh muka bagi kanak-kanak berumur bawah lima tahun sepanjang berada di dalam kelas adalah tidak digalakkan kerana boleh mengundang risiko keselamatan, kata Pakar Perunding Kanan Pediatrik Datuk Dr Amar Singh.

Risiko Face Mask Untuk Kanak-kanak Bawah 5 Tahun

Bekas Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh itu berkata kanak-kanak pada peringkat usia tersebut, terutama yang percakapannya belum lancar atau mempunyai masalah kesihatan seperti asma, mungkin berdepan kesukaran jika memakai pelitup separuh muka untuk tempoh yang lama.

“Mereka ini mungkin boleh pakai untuk sementara sahaja.

“Kanak-kanak yang ada masalah kesihatan seperti asma atau sakit jantung kita tidak cadangkan pakai pelitup separuh muka untuk tempoh lama kerana bimbang mereka akan sesak nafas. Lebih membimbangkan kalau yang belum pandai bercakap (untuk beritahu masalah),” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Dr Amar Singh mengulas peraturan beberapa tabika serta tadika yang mewajibkan semua murid memakai pelitup separuh muka sepanjang sesi pembelajaran apabila persekolahan bermula kembali Rabu ini selepas ditutup sejak 18 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pelindung Muka (Face Shield) Lebih Sesuai Untuk Kanak-kanak Yang Boleh Faham Arahan

Menurut Dr Amar Singh yang juga Penasihat Majlis Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak (NECIC), bagi kanak-kanak yang boleh memahami dan mengikut arahan, pemakaian pelindung muka mungkin lebih sesuai.

“Tapi ini (pelindung muka) tidak begitu bagus berbanding pelitup separuh muka, tapi ia tidak menganggu, senang nak bernafas dan guru boleh tengok muka kanak-kanak itu,” katanya sambil menambah guru juga perlu setiap masa memakai alat itu bagi mengelak titisan air liur terkena pelajar.

Topeng muka kanak kanak

Tiada Masalah Menggunakan Sanitizer Beralkohol

Mengenai pemakaian cecair pensanitasi tangan, Dr Amar Singh berkata tiada masalah untuk kanak-kanak menggunakan cecair itu walaupun mengandungi alkohol kerana produk tersebut antara pilihan berkesan untuk menyahaktifkan bakteria serta virus termasuk COVID-19 selain membasuh tangan menggunakan air dan sabun.

“Ada ibu bapa bimbang untuk gunakan cecair pensanitasi tangan mengandungi alkohol kepada anak mereka, sebenarnya tiada masalah. Tetapi, jika tanpa alkohol itu sebenarnya tidak menjamin dapat membunuh kuman, bakteria atau virus,” katanya.

Pengguna disaran menggunakan cecair pensanitasi tangan mengandungi kadar alkohol 60 hingga 80 peratus untuk membasmi kuman dan peratusan lebih tinggi kurang sesuai kerana sifat bahan itu yang cepat kering selain menyebabkan kulit menjadi kering dan merekah.

*Sumber: BERNAMA











All copyrights for this article are reserved to SirapLimau

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


sixteen − thirteen =