TERLALU gemuruh di pentas menjadi punca juara Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Hady Mirza, 40, tidak dapat mengacara dengan baik dalam program Dansa Dan Sing, semalam.

Hady yang kali pertama mencuba nasib sebagai pengacara digandingkan bersama pelakon dan pengacara berkaliber, Sherry Alhadad.

Pada minggu pertama program Dansa Dan Sing itu, Hady jelas kelihatan tidak tenang dan seperti terganggu sepanjang mengacara.

Hady berkata, dia memang tidak pernah ada pengalaman sebagai pengacara selain aktif menyanyi selama ini.

“Dansa Dan Sing adalah percubaan pertama saya dan ternyata ia bukan perkara mudah. Perasaan pula jadi lebih tak keruan apabila dapat tahu akan bekerjasama dengan Sherry yang sudah terbukti bakatnya.

“Bukan saya tidak membuat latihan awal sebagai pengacara tetapi entah kenapa perasaan terlalu gemuruh ketika di pentas,” katanya.

Persembahan hambar Hady itu secara tidak langsung membuka peluang dia dikecam warganet.

“Sebenarnya saya tak kisah pun dengan kecaman pedas mereka kerana sudah selalu dikritik. Saya buat persembahan menyanyi dengan baik pun dikecam, muncul juara GV6 tetap dikecam, ia sudah terbiasa.

“Cuma memandangkan kerjaya seni ini adalah periuk nasi saya, maka saya tak perlu ambil serius pada kecaman dan kritikan,” katanya.

Hady berkata, dia yakin boleh menjadi pengacara yang baik, cuma sebagai pengacara baru, dia memerlukan masa.

“Saya melihat apa yang berlaku itu sebagai kekurangan persembahan pada minggu pertama dan boleh diperbaiki. Apatah lagi, saya akan mengikuti kelas pengacaraan yang pasti dapat membantu atasi kelemahan diri,” katanya.

Mengulas jadual kerjanya, Hady berkata, selain mengacara Dansa Dan Sing, dia kini sibuk dengan pelbagai tawaran persembahan nyanyian.

“Syukur rezeki buat saya dan keluarga. Saya akan manfaatkan peluang itu sebaik mungkin. Saya bukan tamak atau mahu kejar populariti, tetapi mahu menyara keluarga,” katanya.

Hady yang berasal dari Singapura diumum sebagai juara bersama dengan Naqiu Boboi dalam GV6, Disember lalu.

All copyrights for this article are reserved to Harian Metro Rap