PERSATUAN Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) meminta Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merujuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE) sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan haiwan peliharaan dan Covid-19.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan salah faham, kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat khususnya yang mempunyai haiwan peliharaan.

Menurut Arie, dia terpanggil untuk bersuara kerana banyak kiriman WhatsApp diterimanya daripada orang awam dan pengikut Animal Malaysia yang rata-ratanya bimbang selepas terbaca kenyaatan Dr Noor Hisham berhubung nasihatnya untuk tidak mendekati haiwan peliharaan masing-masing.

“Saya berharap Malaysia tidak melangkaui dan mendahului dua badan utama iaitu WHO dan OIE dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan berhubung Covid-19.

“Setakat ini, hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat kenyataan sendiri secara tunggal mengenai Covid-19 dan hubungannya dengan haiwan.

“Dibimbangi masyarakat Malaysia terkeliru antara wabak khusus berjangkit dengan haiwan dan Covid-19 yang menular pada manusia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Arie, sebelum ini, WHO ada mengeluarkan kenyataan tiada bukti menunjukkan haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing boleh menyebarkan wabak Covid-19 kepada manusia.

“Justeru, diminta semua masyarakat menyampai dan mendengar berita sahih saja,” katanya.

Terdahulu, Noor Hisham meminta pemilik haiwan supaya membawa haiwan peliharaan masing-masing untuk diperiksa di klinik bagi mengetahui sama ada ia dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya, petang tadi.

Noor Hisham kemudian mengingatkan orang ramai untuk mencuci tangan sebelum dan selepas menguruskan haiwan peliharaan masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • All copyrights for this article are reserved to covid19