DUA beranak termasuk bayi lelaki berusia sembilan bulan maut manakala tujuh yang lain cedera apabila van dinaiki terbabas di Kilometer 11 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru, Gua Musang, hari ini.

Dalam kejadian 10.35 pagi, mangsa yang maut dikenali sebagai Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan bayinya Mohammad Fitri Yusof Muhammad Hafiz Zulhilmi.

Mangsa lain yang cedera ialah pemandu van, Mohd Lazim Abdullah, 56, Dr Siti Salwa Mohamad Shokri, 38, Syahirah Muhamad Razali, 20, Dr Norazma Mohamad, 34, Dr Linda Laili Ibrahim Shukri, 29, Dr Suzuanhafizan Omar, 32, dan Dr Hazirah Sazali, 33.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kemalangan berlaku ketika mereka menaiki van Toyota Hiace dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

Menurutnya, van dari Hospital Kuala Krai itu dipercayai dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang (HGM) bagi menjalankan tugas rawatan berikutan penularan wabak Covid-19.

Katanya, sebaik sampai ke lokasi, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum seorang mangsa tercampak keluar dari van berkenaan.

“Dr Nooranisah meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan, manakala bayinya meninggal dunia pada 11.02 pagi di HGM akibat kecederaan dalaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tujuh mangsa lain yang cedera bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra menerima rawatan di HGM dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Katanya, mayat dua beranak itu dihantar ke Bilik Forensik HGM untuk bedah siasat.

“Saya bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan rasa sedih di atas kejadian itu kerana mangsa pergi ke HGM untuk menjalankan tugasnya,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to SirapLimau