SELEBRITI kontroversi, Azwan Ali didenda RM17,000 serta diperintah membuat permohonan maaf secara terbuka dalam Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan mengeluarkan komunikasi jelik di Youtube, 24 Mac lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamed Azwan Ali, 54, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan selebriti itu menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Azwan Ali yang berpakaian serba hitam didakwa menggunakan laman Youtube ‘DIVAAATERSOHOR’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain di Pejabat Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya pada 24 Mac lalu.

Bekas pengacara itu dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Ab Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

All copyrights for this article are reserved to covid19