a hand holding a cell phone


© Provided by Harian Metro


KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan asing yang gagal berdaftar walaupun sudah mencapai nilai ambang cukai perkhidmatan digital di bawah cukai perkhidmatan boleh dikenakan tindakan.

Berdasarkan Soalan Lazim Tentang Pengenaan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital yang Diimport yang dikeluarkan Kementerian Kewangan baru-baru ini, mereka boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Senarai soalan lazim itu memberi penjelasan bahawa mana-mana orang di luar Malaysia menyediakan perkhidmatan digital kepada pengguna negara ini perlu berdaftar sekiranya mencapai nilai ambang ditetapkan.

Kelayakan atau nilai ambang cukai perkhidmatan digital yang ditetapkan ialah pada tahap melebihi RM500,000 setahun.

Pengiraan nilai ambang berdasarkan kepada jumlah nilai semua perkhidmatan digital diberikan penyedia perkhidmatan asing kepada pengguna di Malaysia dalam tempoh 12 bulan.

Penyedia perkhidmatan asing boleh memohon berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) secara dalam talian bermula 1 Oktober 2019 dan mula mengenakan cukai perkhidmatan kepada pelanggan di negara ini bermula 1 Januari 2020.

Selain itu, sebagaimana ditetapkan di bawah perundangan semasa, JKDM mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan perundangan cukai perkhidmatan meskipun syarikat itu berada di luar negara.

Pelbagai negara mengenakan cukai ke atas perkhidmatan digital dan pengenaan cukai berdasarkan kepada dasar sesebuah negara.

Dalam konteks ini, pengguna terdiri daripada individu atau entiti sama ada menjalankan perniagaan atau tidak dan ini termasuk mereka yang bukan warganegara Malaysia.

Pengguna perlu membayar cukai perkhidmatan apabila mereka mengimport perkhidmatan digital dan memenuhi dua kriteria seperti membuat pembayaran menggunakan kredit atau debit disediakan mana-mana institusi kewangan atau syarikat di Malaysia.

Kriteria berikutnya memperoleh perkhidmatan digital dengan menggunakan alamat protokol Internet berdaftar di negara ini atau kod negara antarabangsa bagi telefon mudah alih yang ditetapkan bagi Malaysia atau bermastautin di Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

All copyrights for this article are reserved to Cukai Digital