Ahli Parlimen Jeli merangkap pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Mustapa Mohamed.KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 dijangka meningkatkan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia, namun kemajuannya perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan keberkesannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang juga ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed berkata, prestasi pembangunan dan hasil kerajaan perlu disemak setiap enam bulan.

“Elok dimaklumkan kepada rakyat Malaysia apa yang telah dicapai dari segi perbelanjaan, khususnya pembangunan dan hasil,” katanya selepas program Ruang Bicara, di Wisma Bernama di sini.

Mustapa berkata, Belanjawan 2020 antara lain adalah lebih menyeluruh merangkumi persediaan masa hadapan, digital, Revolusi Industri 4.0.

Menurutnya, ramai menjangkakan kerajaan mungkin mengurangkan perbelanjaan dalam Belanjawan 2020 berikutan kedudukan semasa yang mencabar.

“Namun kerajaan masih mampu menambah perbelanjaan. Tidak terlalu dogmatik dan terus berbelanja. Jadi seperti yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, ramai yang gembira,” katanya, menambah kerajaan perlu menambah baik komunikasi dan membuat penjelasan kepada rakyat mengenai polisi yang dilakukan.

Pada pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan memperuntukkan RM297 bilion untuk 2020, peningkatan RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion, tahun lepas.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata. jumlah itu tidak termasuk simpanan luar jangka RM2 bilion.

Belanjawan 2020 merangkumi RM241 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan baki RM56 bilion lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

Hasil kerajaan dijangka mencecah RM244.5 bilion pada tahun depan, iaitu peningkatan sebanyak RM11.2 bilion berbanding 2019, tanpa mengambil kira dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion.

All copyrights for this article are reserved to Cukai Digital