KEDEGILAN lima lelaki yang cuba mengalihkan penghadang konkrit diletakkan pihak berkuasa dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua mengundang padah apabila ditahan polis di Kilometer 27, Jalan Batu Arang-Rawang dan Simpang Kundang, malam tadi.

Malah seorang daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh anggota polis.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lima lelaki itu yang menaiki tiga kereta dikesan cuba mengalihkan penghadang jalan kekal yang dipasang di kawasan itu bagi mengawal pergerakan penduduk sekitar.

“Dalam kejadian 8.30 malam itu, ketika pasukan polis membuat rondaan mendapati tiga kereta dan beberapa lelaki dilihat mengalihkan penghadang jalan kekal di kawasan ini.

“Hasil siasatan mendapati, apabila polis menghampiri mereka didapati sebuah kereta mengundur dengan laju dan melanggar seorang anggota trafik yang bertugas hingga mengalami kecederaan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, polis berjaya menahan kelima-lima suspek dan mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini.

“Lima mereka masing-masing disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 akta sama kerana menghalang tugas penjawat awam dan juga melanggar PKP fasa dua di bawah peraturan 11.

“Sejak PKP fasa dua dilaksanakan sebanyak sembilan lokasi terdiri daripada jalan tikus dan lorong ditutup sepenuhnya di kawasan itu yang menghubungkan Country Home dan Kundang,” katanya.

Arifai berkata, pihaknya mendapati penghadang jalan yang dipasang sejak 2 April itu sudah empat kali dialihkan orang tidak bertanggungjawab.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya mematuhi PKP fasa dua ini, perlu diingat pihak berkuasa bukan sengaja mahu menyusahkan masyarakat di kawasan ini tetapi bagi memastikan PKP dipatuhi sepenuhnya.

“Kita tidak mahu melihat kawasan ini diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti mana yang berlaku di kawasan lain, di kawasan Kundang dan Country Home sudah ada beberapa kes sebab itu kita mahu memastikan pergerakan masyarakat dikawal dan dihadkan,” katanya.

Menurutnya, melalui sekatan jalan raya dilakukan, kebanyakan mereka memberi alasan mahu membeli barang keperluan dan ke pasar.

“Alasan seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana di Country Home dan Kundang ada tempat yang membekalkan keperluan harian,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • All copyrights for this article are reserved to covid19