KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kit ujian pengesanan antigen dari Korea Selatan akan mula diterima esok dan digunakan di Malaysia.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kit ujian pengesanan antigen itu diharap membantu dengan kadar 80 peratus ketepatan.

“Kita mahu meningkatkan tahap ujian Covid-19 di hospital kendalian KKM dan juga makmal lain dan ketika ini keupayaan makmal seluruh negara adalah 11,500 ujian.

“Matlamat kita untuk melakukan ujian sehingga 16,500 ujian,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, KKM juga sudah menempah satu mesin dari China yang boleh melakukan ujian dengan cepat iaitu 5,000 sehari.

“Mesin ini boleh melakukan ujian secara automatik dan lebih cepat, kita anggarkan 5,000 sehari,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham mengesahkan terdapat dua hingga tiga warga asing yang diuji positif Covid-19.

“Disebabkan itu kita merayu kepada mereka supaya tampil ke depan untuk melakukan saringan kesihatan.

“Kita tidak tahu berapa jumlah sebenar dalam kalangan pekerja warga asing yang positif setakat ini kerana saringan masih berjalan, dan disebabkan itu kita membuka kaunter saringan di Pasar Borong Selayang supaya mereka dapat melakukan ujian.

“Kita juga terpaksa meminta bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain untuk membantu mengesan mereka bagi mengelak penularan wabak dalam komuniti,” katanya.

GAMBAR hiasanGAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • All copyrights for this article are reserved to covid19