Selepas hari pertama persekolahan, ibu bapa kini semakin lega kerana anak-anak mula untuk ‘adapt’ dengan persekitaran di sekolah. Walau bagaimanapun, ada anak-anak yang masih meragam apabila dihantar ke rumah. Jadi, cikgu ini kongsi inisiatif yang boleh diambil oleh ibu bapa dan guru untuk tingkatkan ‘communication skills’ anak ketika supaya lebih teruja untuk ke sekolah.

SETIAP ANAK BERBEZA CARA PENERIMAAN

“Cikgu, anak saya tak nangis pun masa hari pertama sekolah. Dia siap suruh saya balik lagi. Tapi bila nak pergi hari kedua, dia dah meraung-raung pula. Tak faham betul saya”. Kalau sebelum ini tulisan saya berkisar tentang anak yang mengalami separation anxiety atau bimbang akan perpisahan hari pertama, dan saya nasihatkan ibu bapa untuk “balik!”, tetapi dengan anak yang dah boleh berpisah, namun kemudian jadi ‘cengeng’ pula, ibu bapa kena datang.

Datang, datang, datang. Haha. Sudah kena datang pula. Datang di sini bukan bermaksud datang ke sekolah, tetapi ‘attend’ setiap permasalahan anak tu. Ia sangat penting. Anak yang menangis bukan pada hari pertama ini boleh dikaitkan dengan banyak faktor.

Ia tidak semestinya sama bagi setiap budak dan ia agak kompleks untuk terus difahami. Boleh jadi ia memang faktor sebenar, dan boleh jadi juga ia cuma helah bela diri anak. Sebab itu kebijaksanaan ibu bapa perlu untuk hadir dan kesan punca serta mencari penyelesaian tanpa terburu-buru membuat kesimpulan dari cerita anak.

KURANG KEMAHIRAN SOSIALISASI

Antara punca dan faktor yang ‘famous’ yang biasa diutarakan anak-anak ialah personaliti guru anak itu sendiri. Penerimaan anak ini berbeza-beza. Ada yang menanggapi gurunya dengan cara yang ‘negatif’ walhal ia sebenarnya positif saja. Ada yang tidak boleh terima nada suara guru yang tinggi. Ada yang tidak boleh terima muka guru yang bengis. Bahkan ada juga yang tidak boleh terima pakaian guru yang tidak cantik!

Sebenarnya ini bukanlah masalah besar bagi kita yang dewasa. Namun bagi anak kecil, tak semua telah dilatih sebaik mungkin menerima perbezaan ciri dan ‘karektor’ individu lain yang bukan keluarga. Kalau kita bertindak bulat-bulat berdasarkan aduan anak, parah jadinya. Guru yang tinggi suara, mungkin saja sangat bersemangat dan bersungguh ketika mengajar. Kalau kita pergi serang cikgu dan minta supaya direndahkan suara, habis nanti tenggelam suara cikgu dalam riuh suara puluhan anak muridnya. Yang rugi, anak kita juga.

Antara punca lain lagi ialah kekurangan kemahiran sosialisasi. Ini biasa. Tujuan anak ke sekolah antara lain pun memang untuk memantapkan komunikasi sosialisasi. Apabila kurang kemahiran, mereka akan rasa disisih dan berpontensi lebih besar untuk dibuli rakan. Panjang lagi jika mahu disenaraikan, tetapi kita ‘skip’ teruslah kepada peranan yang boleh diambil oleh guru dan ibu bapa.

GURU

1.Hari pertama persekolahan adalah sangat penting.

Kurang persediaan, melayan ‘monday blues’ atau fikiran masih tertinggal di Kinabalu kerana baru balik bercuti, semua ini boleh menyumbang petaka besar bagi kanak-kanak pada hari pertama. Emosi guru perlu stabil dan terurus. Kesabaran perlu ditahap paling tinggi.

Mengamuk atau mengenakan denda yang tidak munasabah adalah penderaan yang maha dasyat untuk emosi anak-anak. Transisi atau perpindahan anak dari rumah ke sekolah bukanlah sesuatu yang mudah bagi mereka. Akal pendek dan jiwa kecil mereka tidak dapat hadam perubahan yang drastik.

Jangan jadikan anak, macam kita. Kita tak apa lah sudah dewasa. Tolak tepi permintaan mengarut-ngarut dari pihak ‘atasan sana’ sekiranya mereka minta terus dimulakan pembelajaran formal hari pertama. Aje giler komer. Bukan deme yang mengadap budak-budak tu. Kita yang akan mengadapnya. Bior lantak situ.

Saya secara peribadi bagi peluang kepada ibu bapa untuk bekalkan makanan kegemaran, permainan kesukaan dan segala yang ada ‘attachment’ dengan anak itu pada hari pertama, kecuali tubuh fizikal ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa, balik! hehe. Ini supaya anak itu tidak ‘terlalu terkejut’ dengan perubahan tempat dan merasakan keseronokan di rumah dan sekolah itu tidak terlalu banyak berbeza. Namun, ya, ia dibenarkan pada hari pertama sahaja.

2.Kita tidak mahu kebergantungan kepada barang kesukaan itu terlalu lama.

Hari pertama ini sangat penting untuk guru leraikan ‘dunia rumah’ itu dari jiwa mereka dan ansur masukkan ‘dunia sekolah’ ke dalam fikiran mereka. Macam install perisian baru dalam laptop, tanpa menjejaskan data sedia ada. Dari berkepit dengan anak patung dan permainan dari rumah, kita ambil dan gantikan dengan permainan di kelas. Dari makan kentucky fried chicken (kfc), gantikan dengan kantin fried chicken (kfc).

3.Guru perlu elakkan aktiviti mencungkil bakat pada hari pertama.

Pernyataan ini mungkin agak kontra dengan pandangan sesetengah guru lain, tetapi ini pendirian saya. “Eh, apa pula. Kita patut latih mereka berani. Jangan biar mereka takut-takut”. Betul. Tetapi kadangkala ada dalam kalangan kita yang sangat ghairah mahu mencungkil bakat dan keberanian murid pada hari pertama sehingga mengundang ‘stress’ kepada anak-anak itu.

4.Memang lumrah manusia dan tidak terkecuali anak-anak kecil, akan lebih ingat peristiwa yang negatif atau menakutkan berbanding peristiwa gembira.

Sayang sekali apabila 10 keseronokan yang dialami di sekolah pada hari pertama, tiba-tiba hanya disebabkan 1 situasi tekanan yang mendalam, anak itu pulang dengan persepsi tidak gembira. Esoknya tidak mahu datang…sebab? Bimbang kena menari depan kawan-kawan lagi, contohnya. Padahal sebelum tu, dialah paling ligat, bergelak ketawa dan seronok melakukan aktiviti lain.

IBU BAPA

Sebenarnya anak-anak banyak terperangkap dalam jerat ‘expectation vs reality’ atau jangkaan lawan hakikat, kerana kata-kata ibu bapa sendiri. Mereka di’set’kan dalam kepala, begini, begini, begini. Namun sebaliknya yang jadi, begitu, begitu, begitu. Jiwa mereka kecil lagi. Cepat rapuh. Bila yang dijangka, jadi sangat berbeza, hilang terus semangat mereka.

Biasa kan kita buat? Sebagai contoh, sebelum anak berkhatan, kita kata, “Tak sakit pun, macam kena gigit semut je” Sebelum makan ubat,”Sedap ubat ni, tak rasa pahit pun”. Begitu juga sebelum masuk sekolah, kita kata,”Best sekolah tu. Boleh jumpa kawan-kawan. Boleh main. Cikgu baik-baik. Nanti kalau baik dapat hadiah lagi”. Sebenarnya kita yang didik anak kita dari kecil untuk ‘expect’ tinggi dalam banyak situasi.

Kita. Maksudnya saya pun sama. Betul, kena sebut yang positif-positif saja. Fikir positif, jadi positif. Tetapi garis antara positif dengan melampau pun tak jauh mana. Kalau dah ‘bohong sunat’, bukanlah positif namanya. “Iyalah cikgu, takkan nak cakap yang buruk-buruk. Tobat lahom depa tak mau! Tak tahu ke seksanya nak pujuk. Cakap senanglah!” Betul tak mudah. Sangat susah. Tapi adakah mustahil

Tak. Ramai antara kita yang tak yakin kebolehan diri untuk memujuk anak dan diburukkan lagi dengan tak yakin, anak mampu dipujuk. Usaha 2,3 kali. Give up. Sebenarnya kita perlu kerap ulang-ulang berbual perkara realiti. Jika mahu mereka fokus, berbuallah sambil rangkul atau pegang bahu. Kalau sakit, katakan sakit.

Ambil masa untuk ‘slow talk’ berminggu-minggu atau berbulan sebelum mereka berhadapan dengan realiti pun tak apa. Ulang sentiasa. “Yaya anak mak. Yaya dah besar tau. Makin kita besar, makin kena jadi kuat. Yaya tengok mak, abah, semua kuat, buat macam-macam kerja, jumpa macam-macam orang. Yaya tau tak, dalam ramai-ramai orang yang ada kat dunia ni, tak semuanya baik-baik. Ada yang nakal. Ada yang jahat. Tapi Yaya kena berani.

Dekat sekolah pun macam tu lah. Yaya akan jumpa cikgu yang lembut dan ada cikgu yang garang. Ada kawan yang baik, ada kawan yang nakal. Yaya kena kuatkan hati. Yaya kena kuat macam mak dan abah. Kalau Yaya betul-betul tak tahan, atau jadi benda tak baik, bagitau cikgu atau mak. Tapi ingat tau. Tak semua benda yaya akan menang. Mak tetap kena tengok dulu, siapa yang betul dan siapa yang salah.

Soft talk ini ramai yang sangkakan ia sesuai untuk anak remaja atau dewasa sahaja. Walhal kanak-kanak seawal umur 3 tahun sudah boleh menerima cara ini. Cuma kena bijaklah sesuaikan laras bahasanya. Jangan pula guna ayat, “Yaya, dalam cabaran globalisasi yang penuh mehnah dan tribulasi ini, sayugia diingatkan…” Mampuih keraih kejung yaya kat situ..huhu.

Tetapi sahabat-sahabat tahu tak, ada juga yang tidak disebabkan oleh semua di atas ini. Ada yang sebabnya nampak tersangat simple iaitu, anak itu tidak cukup tidur! Simple, tetapi sangatlah penting.


Bacalah kepentingan tidur untuk anak-anak. Pasti akan ada fakta yang buat kita terkejut.

Sumber: Khairul Kamilin

All copyrights for this article are reserved to SirapLimau