SIKAP acuh tak acuh dan masih ramai yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memungkinkan negara berdepan ramalan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang dijangka mendadak jumlah peningkatannya berkali-kali ganda berbanding sekarang pada pertengahan April depan.

Setakat semalam, virus maut itu sudah mengorbankan 30,892 mangsa daripada 664,731 kes di seluruh dunia. Di negara ini, 34 mangsa sudah meninggal dunia dengan jumlah kes sebanyak 2,470 kes.

Berdasarkan analisis JP Morgan Chase & Co pada pertengahan bulan depan, negara akan memiliki kes puncak sehingga mencecah 6,300 kes.

Bagaimanapun, laporan Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) pula meramalkan kes positif wabak itu akan lebih tinggi iaitu 8,900 kes.

Menyedari hakikat penularan virus itu amat pantas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengambil langkah awal dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan khas untuk merawat pesakit dijangkiti Covid-19 termasuk mewujudkan stesen kuarantin di setiap negeri membabitkan 409 premis.

Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PRCBR) juga sudah disiapkan semalam di dewan A dan B bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) yang mempunyai kapasiti 600 katil.

PRCBR di Maeps mempunyai kapasiti 600 katil. FOTO Kementerian Kesihatan MalaysiaPRCBR di Maeps mempunyai kapasiti 600 katil. FOTO Kementerian Kesihatan Malaysia

Untuk rekod, KKM juga sudah menyediakan 26 hospital miliknya yang mampu menyediakan 3,400 katil manakala sebanyak 1,892 katil lagi disediakan di 25 Institut Latihan KKM. Ini bermakna sebanyak 5,892 katil sudah tersedia bagi penghidap virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berharap dengan kerja keras sepanjang masa warga KKM dapat membuktikan ramalan JP Morgan dan MIER itu adalah tidak benar.

“Semuanya bergantung kepada kita, jika kita boleh bekerjasama dan berganding bahu dan memahami mesej itu, semua orang mempunyai peranan untuk dilakukan seperti yang saya katakan.

“Jika anda boleh duduk di rumah dan putuskan rantaian jangkitan serta mengurangkan jangkitan…mungkin keadaan kita lebih baik daripada ramalan JP Morgan atau MIER,” katanya.

Banyak faktor boleh menyumbang kepada peningkatan kes positif wabak ini termasuk tidak mematuhi PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu hingga 14 April ini.

PETUGAS bertungkus-lumus menyediakan kelengkapan di Maeps, Serdang. FOTO Kementerian Kesihatan MalaysiaPETUGAS bertungkus-lumus menyediakan kelengkapan di Maeps, Serdang. FOTO Kementerian Kesihatan Malaysia

Dua kampung di Johor juga sudah dikenakan PKP Diperketatkan iaitu Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

Terdapat 83 kes positif wabak itu di Kluang dan daripada jumlah itu, 61 ada di dua petempatan terbabit.

Selain itu, KKM juga bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengesan seramai 5,084 jemaah tabligh yang masih belum menjalani ujian saringan kesihatan. Ia termasuk melakukan pengesanan di setiap negeri dalam usaha memastikan semua jemaah berkenaan hadir ke klinik kesihatan daerah masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • All copyrights for this article are reserved to SirapLimau