POLIS menahan 30 individu termasuk dua daripadanya di bawah umur selepas dipercayai mengadakan ‘private party’ dalam serbuan di tiga kediaman di pangsapuri di Jalan Tanjung Puteri, Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, menerusi Ops Private Party dijalankan pada 8.30 hingga 11.30 malam itu, pihaknya menahan individu berusia 15 hingga 26 tahun terbabit.

Beliau berkata, dalam serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan itu, turut ditahan remaja perempuan berusia 15 tahun dan remaja lelaki berusia 17 tahun.

“Mereka ditahan membabitkan 20 lelaki dan 10 wanita sebelum ujian saringan air kencing mendapati 10 daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine manakala tujuh individu positif dadah jenis ketamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis menahan tiga remaja perempuan termasuk adik-beradik berusia 15 hingga 20 tahun ketika menjalankan sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Sultan Iskandar, pada 7.30 malam tadi.

Menurutnya, mereka didapati tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, selain seorang daripada mereka didapati positif dan memiliki dadah dipercayai jenis ketamine anggaran berat 0.58 gram.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

All copyrights for this article are reserved to covid19