“JANTUNG saya berdegup laju dan saya menjadi panik apabila dimaklumkan turut positif Covid-19, kelmarin,” kata Aliza Syafinaz Sahak, 34.

Isteri kepada Allahyarham Inspektor Mohd Fairos Saberon, 36, yang meninggal dunia pada 26 Mac lalu akibat virus berkenaan memaklumkan dirinya menjalani ujian saringan pada 22 Mac lalu.

Aliza berkata, dia tidak menyangka disahkan positif virus berkenaan memandangkan tidak mengalami sebarang simptom sejak menjalani kuarantin di rumah bermula 18 Mac lalu.

“Pada mulanya saya menyangka pihak kesihatan menghubungi untuk memaklumkan mengenai tempoh kuarantin akan tamat pada 31 Mac (semalam) memandangkan sudah lapan hari saya menunggu keputusan ujian saringan itu.

“Namun, saya terkejut dimaklumkan saya positif Covid-19 walaupun langsung tiada simptom seperti batuk, demam atau selsema sepanjang tempoh kuarantin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aliza yang juga peniaga berkata, dia kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemantauan dan kuarantin.

“Setakat ini, kesihatan saya dipantau oleh doktor dengan melakukan pemeriksaan tekanan darah dan jantung selain bacaan suhu setiap hari.

“Namun, tiada ubat diberikan ketika ini memandangkan saya tidak mengalami sebarang simptom seperti pesakit lain. Malah, tahap kesihatan saya dalam keadaan baik,” katanya.

Katanya, dia reda dengan dugaan itu walaupun diuji buat kali kedua dalam tempoh beberapa hari selepas pemergian suaminya, minggu lalu.

“Saya berharap tahap kesihatan saya sentiasa dalam keadaan baik ketika ini dan dapat pulih sepenuhnya daripada virus ini,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Allahyarham Mohd Fairos disahkan meninggal dunia pada 26 Mac lalu selepas positif Covid-19, 19 Mac lalu.

Berita berkaitan

• ‘Abang minta maaf, jaga diri baik-baik’

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • All copyrights for this article are reserved to covid19