Jika Ramadan dikenali dengan kelebihan sepuluh malam terakhirnya, bulan Zulhijah dikenali dengan kelebihan menggandakan amalan pada sepuluh hari awalnya.

Tahukah anda, Zulhijjah adalah salah satu daripada empat bulan yang dihormati dalam Islam.

Dan seperti juga Ramadhan, bulan ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri terutamanya pada 10 hari pertama tersebut.

Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.

Maksudnya : “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini (Baginda memaksudkan 10 hari terawal Zulhijjah).”

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”


Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

(Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757))

Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari:

“Sebab yang menjadikan istimewanya sepuluh hari (pertama) bulan Zulhijah adalah kerana padanya terkumpul ibadat-ibadat besar (dalam Islam) seperti solat, puasa, sedekah dan haji, yang (semua) ini tidak terdapat pada hari-hari yang lain.”

Oleh itu, ambillah peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan amalan soleh.

Lakukanlah apa sahaja amalan dengan ikhlas dan mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

[ Baca juga : Dahsyatnya! Ini 7 Kelebihan Hari Arafah (9 Zulhijjah) Yang Patut Kita Rebut ]

Semoga keistimewaan ini motivasi untuk kita meningkatkan ibadah.

amalan bulan zulhijjah

Berikut adalah antara amalan yang digalakkan untuk 10 hari pertama Zulhijjah.

7 Amalan Yang Digalakkan Pada 10 Hari Pertama Zulhijjah

1. Al-Quran

  • Selalu membaca Al-Quran
  • Mendengar alunan ayat suci Al-Quran daripada pelbagai Qari dan Qariah
  • Menghafal dan mengulangkaji surah-surah yang dihafal
  • Membaca atau mendengar terjemahan dan tafsir
  • Muhasabah diri dari terjemahan dan maksud ayat-ayat Al-Quran

2. Solat

  • Mengerjakan solat di awal waktu
  • Mengerjakan solat dengan peuh rasa rendah diri dan khusyu’
  • Membaca surah-surah yang berlainan di setiap rakaat
  • Mengerjakan Solat Sunat Ishraq /Dhuha
  • Memanjangkan bacaan dalam solat sunat Tahajud

3. Amalan Kebajikan

  • Mengeluarkan zakat bagi yang cukup syarat
  • Memberikan sumbangan barangan yang disukai dan yang berlebihan
  • Berbelanja untuk ibu bapa, pasangan, anak-anak, saudara mara, rakan taulan dan mereka yang memerlukan

4. Berpuasa

  • Berpuasa sekerap yang mampu pada 9 hari pertama terutamanya Hari Isnin-Khamis dan pada hari 9 Zulhijjah (Hari Arafah). Dengan penuh pengharapan puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang (HR Muslim)
  • Qada’ puasa bagi puasa yang tertinggal (jika ada).

cara ganti puasa

Foto Kredit: new-muslims.info

5. Hari Raya Aidil Adha & Ibadah Qurban

  • Tidak memotong kuku dan rambut sehingga selesai penyembelihan binatang qurban.
  • Mengikuti semua amalan-amalan sunnah Aidil Adha.
  • Mengerjakan Solat Sunat Aidil Adha dengan penuh rasa semangat.
  • Mengerjakan ibadah qurban dengan hati yang ikhlas.
  • Makan daging qurban dan memberi makan daging qurban kepada orang lain.
  • Menziarahi saudara mara dan rakan taulan. (*Pengecualian pada musim wabak COVID-19)

aqiqah untuk bayi

Foto Kredit: kemahiran.kbs.gov.my

6. Zikir & Doa

  • Mempertingkatkan bacaan zikir – Tahlil, Takbir dan Tahmid.
  • Membaca zikir pagi, petang dan doa-doa mengikut sunnah.
  • Membaca selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
  • Memperbanyakkan doa ketika waktu mustajab doa terutamanya pada Hari Arafah.

[ Baca juga : Contoh 29 Doa Pendek Yang Mudah Dibaca & Diamalkan ]

Foto Kredit: maxresdefault

7. Hubungan Kemasyarakatan

  • Memperkukuhkan hubungan dengan saudara-mara.
  • Menjaga kebajikan jiran tetangga.
  • Membantu orang yang memerlukan.
  • Menyertai program-program sukarelawan komuniti.

hari arafah

Foto Kredit: Wikipedia.com

Lain-lain amalan

  • Sentiasa mengambil peluang untuk melakukan kebaikan.
  • Menjauhi perbuatan dan kata-kata yang sia-sia.
  • Menjauhi perbuatan dosa besar dan dosa kecil.
  • Sentiasa memenuhi masa dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Akhir kata, sebagaimana meriahnya umat Islam memenuhi setiap masjid dan surau pada bulan Ramadan, hal sama juga perlu dilakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ini kerana begitu banyak keistimewaannya yang dinyatakan dalam hadis sahih.

Walaupun peluang mengerjakan haji amat terhad tahun ini, kita harus bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menemui bulan Zulhijjah.

Lebih-lebih lagi dalam kita dilanda wabak ini, marilah kita sama-sama memperbanyakkan doa dan meningkatkan amal ibadah di samping memohon perlindungan dan keredhaanNya.

*Sumber perkongsian oleh: Al-Huda Institute via Dr Zaharuddin Abd Rahman











All copyrights for this article are reserved to SirapLimau